Malaysia Dateline

Bolasepak: Mulakan Liga Perdana Julai ini walaupun tanpa penonton

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) memohon supaya musim pertandingan bolasepak Liga Perdana diadakan secepat mungkin iaitu mulai Julai ini bukannya September ini sebagaimana yang dicadangkan.

Presiden KLFA, Khalid Samad dalam satu sidang medianya berkata, September terlalu lewat dan boleh merosakkan mutu bolasepak negara jika permainan bolasepak dihentikan terlalu lama.

“Saya cadangkan ia dimulakan Jun atau Julai ini tanpa adanya penonton di tadium. Jadi kita boleh melakukan semua keperluan SOP dan penjarakan sosial dan sebagainya,” kata Khalid dalam sidang media itu.

Menurut Khalid, jika tidak ada perlawanan dan latihan, banyak pasukan merungut mereka menghadapi pelbagai masalah termasuk kewangan, latihan dan sebagainya ketika para pemain perlu dikekalkan.

Menurut Khalid, tanpa ada perlawanan dan latihan, ia cukup merunsingkan pihak pengurusan pasukan dan kelab bolasepak termasuk KLFA.

“Kalau kita serius dalam usaha untuk mengasah bakat bolasepak negara, kita kena cari jalan untuk perlawanan diteruskan.

“Bagi saya Julai ini boleh kita mulakan tanpa ada penonton untuk sebulan dua dan jika keadaan mengizinkan kita boleh benarkan penonton pada bulan September nanti dengan mengekalkan SOP dan sosial distancing yang diperlukan,” kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Menurut Khalid, isu ini perlu dilihat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menentukan peraturan bagi melawan Covid-19, dengan serius demi kepentingan sukan bolasepak negara.

“Saya juga telah berhubung dengan Presiden FAM dan beliau telah bersetuju kalau boleh ianya diperawalkan.

“Bulan Jun ini kita boleh mulakan latihan masing-masing dan bulan Julai boleh mulakan perlawanan Liga dan sebagainya,” kata Khalid.