Boleh bawa maut! Doktor beri amaran berhenti minum kopi ada bahan terlarang – “Diharamkan KKM”

Oleh WAN SITI AMINAH

Pegawai perubatan, Dr Ahmad Samhan tampil memberikan amaran buat penggemar minuman berkafein untuk berhenti mengambil kopi pracampuran iaitu Kopi Songkok.

Menerusi satu hantaran di platfrom X, Dr Samhan memaklumkan kopi yang didakwa memberi ‘tenaga’ itu telah diharamkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Disahkan beracun, kopi tersebut didapati mengandungi kadar Sidenafil berlebihan iaitu satu jenis ubat yang hanya boleh diberikan dengan preskripsi daripada doktor.

Walau bagaimanapun, terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang masih berdegil dan meminum kopi tersebut hingga membuatkan Dr Samhan tampil memberikan amaran.

“Dengarlah nasihat doktor apabila saya beritahu Kopi Songkok ini boleh membawa maut. Minggu lepas, saya ada membuat perkongsian di TikTok tentang bahaya Kopi Songkok.

“Ternyata memang sangat ramai pengguna (TikTok) berkongsi pengalaman mereka selepas minum kopi tersebut di ruangan komen. Apa yang semua perlu tahu adalah Kopi Songkok memang telah diharamkan.

“(Pengharaman dibuat) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disahkan 100 peratus beracun,” jelas pakar perubatan swasta itu dengan harapan amaran tersebut didengari orang ramai.

Dalam hantaran sama, Dr Samhan turut berkongsi kesan-kesan buruk untuk mereka yang mengambil ubat Sidenafil ini tanpa mendapatkan dos betul daripada doktor.

“Antara kesan buruk mengambil Sildenafil tanpa dos yang betul adalah ia boleh menyebabkan sakit kepala, loya, cirit-birit, sakit otot, priapism, jantung berdenyut laju, strok dan dalam kes ekstrem boleh menyebabkan kematian.

“Nasihat saya, berjumpalah dengan doktor yang bertauliah terlebih untuk dapatkan rawatan ini,” katanya yang turut berkongsi tangkap layar komen ditinggalkan pengguna TikTok.

Berdasarkan tangkap layar itu, ramai pengguna tampil meninggalkan komen berkongsi kesan buruk yang mereka hadapi selepas minum kopi berkenaan terutamanya lelaki.

“Betul, sangat bahaya. Suami hampir mati. Jantung laju, kepala sakit macam nak pecah. Badan panas gila. Minum sedikit sahaja, nasib tak mati. Dia terus buang, taubat nak cuba produk mengarut ini,” kata seorang pengguna.

“Pernah minum juga. Bancuh dan campur dengan susu dekat separuh tin pun masih pahit lagi. Selepas minum terus berpeluh, rasa nak muntah.” Kongsi pengguna lain.

Difahamkan, kopi Songkok yang dimaksudkan oleh Dr Samhan ini sering dijual di kedai makan dan datang dalam bentuk paket kecil berwarna hijau.

Baca juga: Terpengaruh kawan punya pasal, individu menyesal lepaskan kerja bergaji tinggi untuk jadi ejen insurans