Desakan bubar Parlimen terus berulang ketika Perdana Menteri bersyukur apabila lebih 100,000 pengunjung memenuhi Dataran Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Alhamdulillah, hari ini Dataran Merdeka kembali menjadi saksi kepada sambutan 65 tahun, negara mengecapi nikmat kemerdekaan.
“Sungguh meriah sekali, lebih 100,000 Keluarga Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa hadir meraikannya.
“Saya pasti ramai yang datang seawal pagi untuk melihat acara perbarisan dan perarakan oleh pelbagai kontinjen kenegaraan, barisan hadapan, urus tadbir negara, ketenteraman awam, keselamatan negara, komponen Keluarga Malaysia serta pertunjukan terbang lintas pesawat udara,” katanya.
Hantaran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Facebook rasmi beliau itu mengundang komentar orang ramai termasuk berkenaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Boleh bubar dah,” komen ringkas seorang individu meninggalkan komen.
Bagi yang bersetuju dengan desakan itu berpendapat keputusan PRU15 penting diadakan segera demi keadaan politik yang stabil.
“Tak kiralah siapa yang menang, janji boleh tubuh kerajaan utuh tanpa dibayangi pihak lain,” ujar seorang lagi pengguna laman sosial.
Sebelum ini, tular satu gambar yang memaparkan tarikh penting PRU-15 dengan antara lain menunjukkan tarikh pembubaran Parlimen pada 1 September ini, manakala penamaan calon pada 25 September dan PRU-15 dilaksanakan pada 8 Oktober.
Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam reaksinya menegaskan dakwaan dan spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubarkan bulan depan, adalah tidak benar.
Beliau menjangkakan Perdana Menteri hanya akan memohon pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas pembentangan Belanjawan 2023.
Tindakan kerajaan mempercepatkan pembentangan Belanjawan 2023 tiga minggu dari tarikh sebenar juga dilihat sebagai isyarat jelas bahawa PRU15 bakal diadakan tahun ini.
Baca juga Ramai minta cuti peristiwa sempena kemenangan badminton dunia, siap ada yang ‘PM’ tepi Ismail Sabri