Malaysia Dateline

Pegawai perubatan

Boleh duduki kertas BM tunggal bagi lantikan baharu pegawai perubatan UD41

Semua lantikan kontrak baharu bagi Pegawai Perubatan Gred UD41 tanpa mempunyai kelulusan Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh menduduki kertas BM secara tunggal bermula November ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peperiksaan itu akan dikendalikan Kementerian Pendidikan pada setiap Jun dan November.

Katanya, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan beliau, hari ini. Selain itu, Ahmad Zahid berkata, Kabinet juga memutuskan supaya Akta Perubatan 1971 dipinda bagi mewajibkan perkhidmatan pegawai perubatan selama dua tahun selepas tamat ‘housemanship’ dan memasukkan syarat kelulusan BM jika perkhidmatan diperlukan.

“Kita menyerahkan perkara ini kepada Kementerian Kesihatan untuk berbincang dengan Peguam Negara, sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, isu kelonggaran syarat kelayakan BM di peringkat SPM untuk pengambilan pegawai perubatan Gred UD41 secara kontrak hangat diperdebatkan, selepas Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan mengenainya.

Ahmad Zahid berkata, Kabinet menarik balik kelonggaran syarat itu dan mengekalkan syarat lulus BM dalam pengambilan semua jawatan dalam sektor awam di negara ini.

“Tiada sebarang kelonggaran berkaitan BM diizinkan untuk sebarang jawatan. Jemaah Menteri komited untuk mempertahankan Perkara 152 yang termaktub dalam Perlembagaan.

“BM adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Persekutuan, selaras dengan Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32),” katanya.