Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus merungkai persoalan tentang hukum mendirikan solat sunat tarawih jika seseorang itu belum menggantikan (qada’) solat fardu yang mereka tinggalkan sebelum ini.
Hal ini berikutan pendakwah berkenaan menerima soalan berhubung permasalahan tersebut memandangkan kini sudah masuk bulan Ramadan dari salah seorang jemaah yang menghadiri sesi ceramah dijalankannya.
Menurut Ustaz Azhar, hutang adalah amanah yang wajib untuk dibayar terutamanya dengan Allah SWT dan empat mazhab iaitu Maliki, Hanafi, Syafie dan Hambali turut memberi penegasan tentang kewajipan membayarnya.
Situasi ini juga sama dengan penunaian ibadat solat fardu di mana mereka yang bertindak meninggalkannya wajib untuk menggantikannya ataupun qada’ terlebih dahulu sebelum melakukan amalan sunat.
“Apabila kita berhutang, Nabi Muhammad SAW sunatkan kita untuk membayar lebih atau berikan hadiah. Sebagai contoh, kawan beri pinjam RM1,000. Kita bolehlah bayar RM1,050 atau beri buah mangga kepadanya.
“Tetapi tak bolehlah kalau kita beri hadiah, namun hutang masih belum diselesaikan. Orang akan marah. Begitu juga dengan orang yang tidak qada’ solatnya. Hutang itu wajib dibayar. Yang qada’ tak buat tetapi solat sunat tarawih.
“Hutang kepada Allah SWT lebih mustahak untuk dibayar terlebih dahulu. Mengikut ijmak keempat-empat mazhab, wajib untuk qada’ solat Fardu,” katanya ketika menjawab soalan tersebut dalam sesi ceramah.
Sedutan daripada sesi tanya jawab itu kemudian dikongsi menerusi satu hantaran video berdurasi tiga minit 33 saat yang dimuat naik di akaun TikTok milik penceramah asal Terengganu tersebut.
Dalam perkongsian sama, Ustaz Azhar turut memberikan penjelasan mengenai dua jenis pendangan yang boleh menjadi rujukan orang ramai berhubung permasalahan tersebut.
“Pendapat pertama mengatakan selama kita tidak qada’ solat, maka haram melakukan solat sunat. Itu adalah betul kerana memang ada sandarannya, malah ada ucapan dari ulama yang berfatwa sedemikian.
“Manakala untuk pendapat kedua pula, mudah-mudahan menjadi rahmat buat kita agar dapat melakukan kedua-duanya. Sambil kita qada’, lakukan juga yang sunat. Siapa yang nak solat tarawih silakan, tetapi perbanyakkan qada’ solat fardu.” Jelasnya.
Baca juga: Kos nikah di Thailand cuma RM800, rupanya ejen kaut untung lebih