Boleh ke wanita dalam idah berkenalan dengan lelaki lain? Ini penjelasan Ustaz Azhar Idrus

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini, timbul satu perbincangan hangat berhubung batas pergaulan wanita yang masih berada dalam tempoh idah di kalangan pengguna media sosial tempatan.

Perbincangan tersebut telah membangkitkan persoalan sama ada seseorang wanita itu dibenarkan untuk berkenalan dengan lelaki lain sekiranya tempoh idahnya masih belum berakhir.

Persoalan tersebut akhirnya dijawab secara tuntas oleh penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun Instagram, @uaioriginal.

Menurut pendakwah yang turut dikenali sebagai UAI itu, hukumnya adalah haram kerana wanita terbabit masih berstatus isteri orang dan boleh kembali rujuk dengan suaminya sepanjang tempoh iddah.

“Haram isteri yang masih dalam idah berkenalan atau bercinta dengan lelaki lain kerana dia masih dalam hukum isteri orang.

“Tersebut dalam himpunan fatwa negeri Mesir yang bermaksud; telah sepakat oleh fuqaha (ahli ilmu fiqah) bahawasanya haram meminang perempuan yang masih di dalam idah.

“Kerana sesungguhnya, perempuan itu masih berstatus isteri orang kerana dia akan kembali kepada suaminya dengan rujuk (Fatwa No 3038),” kongsi Ustaz Azhar Idrus dalam perkongsian berbentuk gambar itu.

Penceramah terkenal dari Terengganu itu turut berkongsikan petikan kata Imam Ibnu Quddamah dalam Kitab Al-Mughni yang bermakna; Perempuan dalam tempoh idah raj’ei tidak halal untuk dipinang kerana sesungguhnya dia masih dalam hukum isteri orang.

Terdahulu, isu tersebut mula hangat diperkatakan apabila seorang pempengaruh tampil menegur bekas isterinya secara terbuka di media sosial untuk menjaga maruah sepanjang menjalani tempoh idah.

Pempengaruh terbabit turut menyeru orang ramai untuk menghormati wanita yang sedang menjalani tempoh idah dengan tidak ‘kenenkan’ bekas isterinya itu dengan orang lain termasuk pelakon lelaki popular.

Meskipun teguran tersebut disambut baik oleh segelintir pengguna media sosial, pempengaruh itu bagaimanapun kembali diperli untuk menjaga pergaulan dengan pekerja wanitanya yang sebelum ini berstatus isteri orang.

Diharapkan dengan penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus ini, orang ramai khususnya wanita mempunyai kesedaran di dalam menjaga batas pergaulan selagi tempoh idah masih belum tamat.

Baca juga: Pertanyaan tentang cuti hari Jumaat bikin panas, Mufti Perlis terdiam sekejap sebelum jawab