Malaysia Dateline

Boleh keluar wang maksimum RM500 sebulan dari Akaun 2 KWSP

Seramai 12 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berusia kurang 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum KWSP yang berjumlah RM40 billion itu bertujuan mengurangkan bebanan kewangan rakyat ekoran wabak Covid-19.

“Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020. Jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 bilion,” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Menurutnya, inisiatif itu juga pengurangan empat peratus kadar caruman KWSP pekerja berkuatkuasa April 2020 membolehkan rakyat mempunyai lebih wang untuk membeli barang-barang keperluan harian.

“Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin.

“Beli barang-barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini. Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, mungkin juga wang itu sebahagiannya boleh diguna untuk menampung bayaran bil air, elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing.

Walaupun jumlahnya mungkin tidak seberapa, ujarnya, kerajaan membenarkan wang tersebut diguna pada masa ini memandangkan ada dalam kalangan ahli yang memerlukan.

“InsyaAllah, jika wang ini digunakan secara berhemah akan ada keberkatannya untuk saudara dan saudari seisi keluarga,” katanya lagi.