Boleh pecah tapi Pemuda AMANAH Kelantan anggap kerja sia-sia

Isu paksa pindah ke atas 516 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh ke Pasar Siti Hajar di lokasi tidak strategik dengan prasarana tidak memuaskan terus berlanjutan.

Semalam, Pas Kelantan dan Pas Kawasan Pasir Puteh bersama Unit Amal bertindak membantu mengangkut barangan peniaga yang dikatakan bersetuju untuk berpindah ke tapak baharu.

Walau bagaimanapun, beberapa faktor penting yang membawa kepada bantahan majoriti peniaga untuk berpindah masih gagal diselesaikan.

Bahkan, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Nazman Che Ibrahim dalam reaksinya semalam mengeluarkan pandangan yang mengejutkan sekali gus mengundang cemuhan serta sindiran orang ramai.

Nazman beralasan kononnya binaan pelik meja simen yang dipersoal daripada segi laluan keluar masuk sebenarnya boleh dibuang.

Bersifat istiqomah memanggil AMANAH sebagai ‘PAN’ seperti kelaziman pemimpin dan penyokong Pas, Nazman menganggap “PAN gigit jari lagi”.

Ujarnya, ramai peniaga didakwa sedang giat melakukan pengubahsuaian premis masing-masing sebaliknya peniaga yang terpengaruh dengan apa yang dianggapnya sebagai hasutan dan adu domba “orang luar” akan tertinggal.

“Tahukah Pemuda PAN bahawa lot-lot kedai ini asalnya tidak ber’grill’? Dan ia dipasang hasil permintaan daripada kumpulan peniaga sendiri?

“Jika tanpa jeriji besi, ia akan kelihatan luas, tetapi selepas dimasukkan jeriji maka ruangnya kelihatan lebih sempit.

“Tahukah Pemuda PAN bahawa meja simen itu boleh dibuang apabila peniaga mahu memulakan operasinya. Dan adakah logik pihak MDPP (Majlis Daerah Pasir Puteh) mahu makcik-makcik peniaga melompat naik atau menyusup ke bawah meja setiap kali mahu masuk dan keluar lot kedai ini?

“Adakah orang lain sebingung seperti yang anda sangkakan?” soalnya dalam satu kenyataan semalam.

Hazmi Hassan

Terdahulu, Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan bersama pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri mengadakan demonstrasi menunjukkan ruang premis niaga baharu itu yang mustahil untuk diakses secara normal.

“Tiba-tiba tanpa berjumpa dan berbincang dengan peniaga yang enggan berpindah, satu program mengangkat barang dilakukan.

“Persoalannya, jika kedai masih belum siap, bangku masih tidak dipecahkan (salah satu kerja yang sia-sia) macam mana peniaga boleh mulakan perniagaan?” bidasnya.

Menurut Hazmi, kerajaan negeri Kelantan yang dikuasai Pas pada masa ini hanya menurut apa yang mereka mahukan bukan mengikut keperluan rakyat.

Jelasnya, peniaga Pasar Besar Pasir Puteh enggan berpindah ke kawasan bandar baharu Pasir Puteh Sentral kerana saiz lot kedai yang jauh lebih kecil tetapi kadar sewa bulanan lebih mahal daripada premis lama.

Peniaga juga tidak mahu berpindah kerana aspek keselamatan masih tidak memuaskan selain nama pasar besar itu yang telah diberikan kepada pasar raya Econsave.

“Pasar baru diberi nama Pasar Siti Hajar (nama pasar besar sudah hilang). Peniaga masih enggan berpindah kerana proses mahkamah masih belum selesai.

“Dan yang paling penting pasar Siti Hajar masih belum siap sepenuhnya. Kerja-kerja pengubahsuaian (guna duit sendiri) sedang dijalankan (mereka yang bersetuju pindah),” tegas Hazmi.

Sehubungan itu, beliau berpendapat masalah itu berlaku akibat sikap ahli politik yang hanya sibuk dengan kepentingan politik kepartian.

“Bila saya tegur di mana Pemuda Pas, barulah mereka sibuk untuk tunjuk muka.

“Tetapi sayang, mereka hanya lakukan untuk kepentingan politik. Bukan datang untuk bersama dengan denyut nadi peniaga yang dizalimi ini,” tambahnya lagi.

Kecaman

Dalam hal berkaitan, reaksi Nazman turut mengundang kecaman orang ramai di media sosial. Antaranya, pengguna Facebook, Nasoruddin Shah Mat berkata, tidak banyak barang jualan dapat diletakkan di tapak niaga hanya bersaiz 5 kaki x 5 kaki itu.

Beliau memberitahu, jualan maksimum dianggarkan sekitar RM100 hingga RM300 sehari dengan ruang niaga yang terhad itu.

“Jika purata keuntungan 15 peratus daripada keuntungan, paling tinggi tak sampai RM50 sehari,” jelas Nasoruddin lagi.

Sementara itu, Anuar Othman Anuar mendedahkan pasar baharu yang disediakan pihak MDPP dianggarkan seluas hanya dua ekar berbeza tapak Pasar Besar Pasir Puteh seluas lima ekar dan berharga kira-kira RM5 juta yang berada di tengah-tengah bandar.

“Asalnya tanah sawah yang diambil daripada rakyat dengan anggaran RM200,000. Dengarnya juga MDPP dapat geran daripada kerajaan pusat untuk pembinaan pasar baru ini.

“Dengan keuntungan berlipat ganda ini pun rakyat peniaga masih dilayan macam monyet. Dari tapak niaga seluas 8×8 jadi 3×5 di pasar baru.

“Dari pasar lama yg mempunyai 13 buah pintu masuk, jadi pintu masuk cuma sebelah saja. Sudahlah pasar baru ini terletak di hujung sekali tepi sungai. Musim tengkujuh tahun lepas air bertakung setakat betis,” dedahnya lagi.

Peniaga terpaksa membuat pengubahsuaian binaan tapak niaga.

2.3
OVERALL SCORE
3 user votes x 3.0
CATEGORIES
TAGS