Malaysia Dateline

Boleh pergi merayau ke mana-mana bulan depan, kata Mahiaddin

Kebenaran merentas negeri dicadangkan pada pertengahan bulan depan, jika kadar vaksinasi Covid-19 mencapai 90 peratus populasi dewasa, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata syor tersebut sedang diperhalusi oleh menteri terbabit untuk dibincangkan lagi minggu ini, termasuk membuka semula sempadan negara, yang ditutup sejak Mac tahun lepas.

Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, saranan berkenaan juga akan dibincangkan dengan Perdana Menteri sebelum Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat.

“Rentas negeri berdasarkan kepada data dengan kadar vaksinasi sudah meningkat hampir ke 90 peratus.

“Kalau dimaklumkan tadi, kemungkinan dalam bulan Oktober sama ada awal atau selewat-lewatnya pertengahan Oktober.

“Jadi, saudara bolehlah pergi merayau ke mana-mana di Malaysia ini tetapi sentiasa ingat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini.

Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Mahiddin berkata, beberapa kementerian akan meneliti kewajaran membuka semula sempadan negara kepada pelancong asing.

“Soal isu pembukaan sempadan kita, saya bangkitkan tadi dan ada respons. Ini sedang diperhalusi oleh Menteri-menteri yang terbabit untuk dibincangkan dalam minggu ini juga.

“Apakah kewajarannya supaya sempadan negara kita dibuka untuk membolehkan Malaysia dan rakyat kita pergi ke luar negeri? Di mana diterima, disebabkan mereka semua sudah diberikan suntikan dos lengkap?

“Kita lihat sama ada sempadan akan dibuka untuk membolehkan pelawat, peniaga, usahawan, pelancong datang ke negara kita.

“Salah satu daripada keputusan yang saya fikir akan membawa kesan yang besar kepada negara kita,” tambah Mahiaddin lagi.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika kes harian Covid-19 menyaksikan trend penurunan selepas berbulan-bulan kes setiap hari mencecah antara 13,000 hingga 15,000.

Hari ini jangkitan baharu wabak membawa maut itu direkodkan sebanyak 10,959 kes.

Angka tersebut merupakan yang terendah direkodkan dalam tempoh 71 hari sejak Julai lalu.

Dalam masa sama, seramai 19,604,699 individu atau 83.7 peratus daripada populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.