“Boleh pula ambil tempias marketing”, Starvendors jadi sasaran boikot gara-gara Ruhainies?

Oleh WAN SITI AMINAH

Festival jualan, Starvendors menjadi sasaran boikot baharu ditengah kehangatan isu tangkapan khalwat melibatkan pasangan pelakon sensasi, Aliff Aziz dan Ruhainies.

Perkara berlaku selepas usahawan selebriti iaitu Ifa Raziah mengumumkan kehadiran Ruhainies sebagai artis jemputan dalam festival yang bakal diadakan hujung Mac ini.

Bersama kapsyen ‘Alhamdullilah si cantik Manis Ruhainies juga ada di Starvendors nanti!’, pengumuman itu dibuat oleh Ifa di laman Instagram selaku penganjur festival.

Pengumuman tersebut bagaimanapun mengundang respon negatif daripada rata-rata pengguna media sosial yang tidak bersetuju dengan keputusan Ifa Raziah itu.

Hal ini kerana, tindakan mengambil Ruhainies sebagai salah seorang artis jemputan seolah-olah sengaja ‘menunggang’ isu yang sedang hangat bagi tujuan pemasaran.

Orang ramai juga hairan dengan sikap Ruhainies yang terus menjalani kehidupannya tanpa rasa bersalah selepas mengkhianati kawan baiknya sendiri iaitu Bella Astillah.

Sehubungan dengan itu, netizen Malaysia mengambil pendekatan untuk memulakan gerakan boikot dengan harapan amalan promosi seperti ini tidak dinormalisasikan.

“Kita boikot terus orang yang normalisasikan benda tak sepatutnya. Starbucks pun rakyat Malaysia mampu boikot. Apatah lagi Ruhainies yang suam-suam payau,” kata seorang pengguna.

“Boikot Starvendors! Berani lagi guna muka ini untuk pemasaran. Wahai netizen jalankan tugas anda,” kongsi pengguna yang meluahkan ketidakpuasan hatinya.

“Nak tanya. Macam mana dia (Ruhainies) boleh selamba menjalani kehidupan tanpa rasa bersalah, tanpa rasa malu. Tanpa rasa simpati dekat kawan sendiri.” Soal pengguna lain.

Terdahulu, Ruhainies ditangkap khalwat bersama pelakon dan penyanyi asal Singapura, Aliff Aziz di kondominium mewah miliknya di Kuala Lumpur, pada pagi Sabtu lalu.

Mengambil masa hampir tiga jam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terpaksa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas artis terbabit enggan membuka pintu untuk pemeriksaan.

Baca juga: Bapa akhirnya datang selepas tular foto anak termenung, rupanya tiada kerja punca setahun tak jenguk