Boleh pula guna jari nak ambil lauk, rupanya tengah mabuk

Oleh KIM SYAZIE

Tindakan tiga lelaki yang memukul pekerja restoran selepas mengambil lauk menggunakan jari akhirnya bawa padah selepas ditahan pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurus sebuah restoran tersebut.

Beliau memaklumkan tentang kejadian dan menahan tiga suspek berusia 50 hingga 51 tahun di dua lokasi berasingan.

Tiga suspek itu didapati datang ke restoran dan salah seorang daripada mereka yang mabuk telah menggunakan jari untuk mengambil lauk.

“Salah seorang daripada mereka dipercayai mabuk menggunakan jari untuk mengambil lauk.

“Teguran itu telah membuatkan suspek menjadi berang dan bertindak agresif memukul pekerja restoran tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Wan Kamarul Azran, susulan kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada leher, kepala, bahu kiri dan telinga akibat dipukul suspek.

“Pengadu yang juga pengurus restoran mendakwa berdepan kerugian apabila peralatan kedai dirosakkan termasuk pinggan dan lauk tercemar hingga terpaksa dibuang.

“Siasatan turut mendapati dua suspek masing-masing pemandu pelancong dan pemandu teksi mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya.

Ujar beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324, 327 dan 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular satu video yang memaparkan kejadian dua lelaki memukul pekerja sebuah restoran nasi kandar sehingga mengakibatkan kekocohan dan kerosakan barangan di premis tersebut.

Baca juga: Tekad sewa trak tunda bawa Mercedes keliling bandar, rupanya ini punca sebenar