Malaysia Dateline

Boleh pula menteri rentas negeri, berkumpul makan tidak amal jarak

Buat kesekian kalinya, orang ramai menganggap kerajaan mengamalkan dasar pilih kasih apabila menteri dilihat selamba melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan Covid-19.

Tular gambar Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikatakan mengadakan pertemuan di Pengerang, Kota Tinggi Johor.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkongsikan foto Ahli Parlimen Gombak yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

“Khabarnya ada makan-makan di Pengerang?

“Bukankah PKP rakyat biasa nak makan di kedai pun tak boleh? Adakah sebab Menteri?” soal Akmal yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Azmin hari ini menghadiri majlis penyampaian bantuan berbentuk barangan keperluan asas selain bergotong-royong membersihkan beberapa kawasan terjejas oleh bencana banjir di Pengerang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu memberitahu misi bantuan banjir di bawah kementeriannya dilaksanakan selepas mendapat kebenaran dan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat.

Azmin juga dilaporkan mengumumkan peruntukan kecemasan sebanyak RM100,000 untuk penyelenggaraan sistem perparitan di Pengerang.

Selangor dan Johor antara enam negeri yang dikenakan PKP selama 14 hari berkuat kuasa 13 Januari lalu.

Secara umumnya pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan di seluruh negara di semua negeri yang dikenakan PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) serta PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 12 Januari lalu turut menegaskan semua pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan di negeri yang dikenakan PKP dan PKPB.

Kelonggaran hanya diberi atas sebab-sebab tertentu seperti kecemasan atau telah membeli tiket penerbangan dan bas ekspres.

Ribuan individu telah dikompaun dan direman atas kesalahan ingkar SOP PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakkan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan.

Terbaharu, seramai 608 individu ditahan, 580 daripadanya dikompaun, 27 direman dan seorang dijamin semalam atas kesalahan ingkar SOP PKP.