Malaysia Dateline

Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

Boleh solat sunat Aidiladha dua sesi

Solat sunat Aidiladha boleh dilaksanakan lebih dari satu sesi dengan syarat ia diimamkan dan khatib yang berbeza serta menurut segala tertib dan kaedah solat yang telah ditetapkan.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, panduan hukum tersebut adalah mengambil kira percambahan umat Islam yang akan melaksanakan solat sunat tersebut samada di masjid maupun surau yang telah dibenarkan mengerjakan solat Jumaat.

Jelas beliau lagi, solat sunat tersebut boleh juga diadakan di kawasan-kawasan lain termasuk di rumah.

Namun begitu ujar beliau tatacara operasi standard atau SOP yang disediakan menurut PKPP harus dipatuhi.

“SOP seperti memakai pelitup muka haruslah dipatuhi dan mengambil wuduk di rumah serta membawa sejadah masing-masing semasa hendak hadir untuk melaksanakan solat sunat tersebut di masjid maupun surau.

“Perlu diingatkan sepertimana pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang mereka yang berumur dibawah 15 tahun tidak dibenarkan untuk turut sama mengerjakan solat sunat Aidiladha di masjid, manakala prioriti adalah bagi mereka yang berusia 15 hingga 70 tahun.

“Selain itu apa lebih diutamakan ialah mereka yang ingin bersama-sama melaksanakan solat sunat tersebut di masjid-masjid haruslah dipastikan tidak mempunyai apa jua simptom atau gejala Covid-19,”saran beliau lagi.