Malaysia Dateline

Bolehkah Anwar Ibrahim atasi isu ekonomi rakyat?

Soalan ini kerap kali ditanya oleh ramai anak muda yang saya temui khususnya kumpulan usahawan muda kecil dari kalangan graduan dan mereka yang lahir sekitar tahun 1997-1998.

Ini tahun-tahun kemelut Anwar dalam Umno dan kejatuhan parti Golkar, Suharto di Indonesia. Mereka remaja belia yang tiada memori dan sentuhan dengan peristiwa ini. Langsung tiada. Mereka belum lahir atau berumur setahun ketika itu.

Soalan ini sebenarnya tepat untuk ditanya. Saya memendekkan jawapan dalam tulisan kali ini. Jawabnya: Boleh.

Bukan kerana saya bias parti. Bukan kerana taksub Anwar. Bukan kerana rekod cemerlang Anwar semasa Menteri Kewangan. Bukan kerana kebolehan peribadi Anwar. Tetapi asbab berani Anwar berdepan taikun monopoli.

Keberanian ini satu-satunya peluang untuk berani menghadirkan satu polisi jika menjadi Perdana Menteri iaitu membentuk kuota subsidi rakyat yang hari ini dikawal oleh taikun monopoli.

Ketegasan inilah yang menjadikan Anwar terpelanting dahulu apabila bertembung prinsipnya dan Tun Mahathir dalam kemelut penyelamatan syarikat kapal anak beliau dengan wang Petronas.

Bagi yang percaya versi kabur usung tilam, itu hal kamu. Teruskan hidup dalam demam fikir tak kebah itu. Jemu.

Hari ini kita berdepan kemelut kenaikan harga barang asas yang menggila. Ada yang kurang dapat difahami oleh akal waras seperti minyak masak. Masakan tidak. Negara kita pengeluar minyak sawit utama dunia tetapi rakyat mendapat harga mahal.

Semua ini berlaku kerana dorongan sifat kapitalis yang menjual pada harga pasaran masa hadapan. Di mana pembeli harga mahal, di situ dijual.

Buat rakyat tempatan, kuota jual murah adalah satu kerugian. Walhal, syarikat ini semua untungnya bilion.

Tak beranikah untuk kekalkan 20% jualan dalam negara pada harga murah demi rakyat.

Kejar untung maksimum selagi daya. Itu kiblatnya.

Tiada pemimpin dalam Umno-BN berani untuk berdepan kumpulan taikun seperti ini. Termasuk para komando Jihad Inflasi.

Sama ada dari dulu kala ada kira-kira belakang untuk dana dukungan parti atau sememangnya tidak berani.

Terlalu banyak konflik kepentingan. Ini ‘game of throne’ pada tahap tertinggi. Maka, satu-satunya pemimpin yang tiada kepentingan ini ialah Anwar Ibrahim.

Sekerat dua

Polisi Anwar dalam bab ini sangat jelas dari dahulu lagi. Pada zaman beliau, kuota import beras dan gula berada pada Pertubuhan Peladang dan Pertubuhan Nelayan.

Dividen dari kuota import ini diterima kumpulan petani dan nelayan miskin sebagai hibah. Petani tidak pun kaya tetapi mendapat imbuhan lebih.

Tiada Anwar Ibrahim dalam pentadbiran negara, beralih kuota ini pada Bernas. Kayalah sang Melayu yang seorang itu.

Inilah sebab mengapa dalam ceramah-ceramah Anwar Ibrahim, beliau selalu menyebut ayat ini:

Hidup Melayu! Tetapi Melayu mana? Melayu yang sekerat dua membolot kekayaan negara! Bukankah kita semua sering mendengar ayat ini diulang beliau berkali.

Maaf cakap. Inilah sebab mengapa sesetengah ‘warlord’ Umno takut teramat jika Anwar naik sebagai Perdana Menteri. Ia bermakna makin dekat hari-hari terakhir diari manipulasi dasar penswastaan. Sedangkan Anwar Ibrahim tidak pernah menumbuk lebam mata mereka.

Negara ini bukan setakat perlu pemimpin cerdik. Najib Razak itu cerdik tetapi sakau. Pemimpin cerdik namun disampuk syaitan tunai adalah raja. Ini menjahanamkan negara.

Apa yang kita perlu pada saat konflik berat ini ialah pemimpin yang cerdik dan berani. Kita hanya ada tiga calon Perdana Menteri.

Fikirlah dengan hati nurani dan kita pasti nampak, hanya satu pemimpin yang berani membuat reformasi. Tidak Mahiaddin. Tidak Ismail Sabri. Jauh sekali Haji Hadi. Sangat jauh.

Lalu orang muda, yang kamu tidak sempat menyaksikan bagaimana jatuhnya Parti Golkar di Indonesia. Yang mana menghambur mahasiswa ke jalan raya meruntuhkan rejim parti tua korup melalui jalan revolusi rakyat bertumpah darah. Nauzubillah.

Dengar kata abang senior kamu ini. Undi Pakatan Harapan (PH). Undi kamu bakal menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Kita boleh keluar dari kemelut ini.

*Penulis merupakan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Terengganu.

Baca juga Nama calon PM PH ‘meletup’ di Twitter menjelang hari penamaan calon

Baca juga Adik ini dapat gelaran ‘superstar’ selepas bomba datang kepadanya