Bolehkah Pas tidak bertanding di kerusi dimenangi PH? Ini reaksi Pemuda Harapan selepas penyokongnya diajak bantu tumbangkan BN

Oleh ARIF ATAN

Angkatan Muda Harapan Pahang yang terdiri daripada DAP, PKR dan AMANAH bertanyakan sama ada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bertanding di kerusi yang telah dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Young Syefura Othman menyifatkan Pas hanya mementingkan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kuasa.

“Tindakan ini juga membuktikan bahawa sebarang kerjasama dengan Pas tidak menjamin sesuatu hubungan politik yang stabil dan utuh.

“Satu soalan yang ingin diajukan kepada Pas ialah bolehkah Pas memberikan jaminan untuk tidak bertanding di sembilan kerusi yang dimenangi oleh PH di Pahang dan memastikan komponen mereka dari PN (Perikatan Nasional) juga tidak bertanding di kerusi-kerusi tersebut?” soalnya dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu yang merupakan reaksi terhadap ajakan Pemuda Pas kepada penyokong PH untuk kononnya membantu menumbangkan BN turut disertai bersama Ketua Pemuda Sosialis DAP Pahang, Leong Wai Hong; Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pahang, Mohd Mustaqim Abd Jalil dan Ketua Pemuda AMANAH Pahang, Muhammad Ibrohim Mazalan.

Terdahulu, Ketua Pemuda Pas Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari, mengajak penyokong PH untuk bersama-sama menumbangkan BN di Pahang pada PRU15.

Mengulas lanjut, Angkatan Muda Harapan Pahang menegaskan kedudukan PH negeri itu sebenarnya lebih kukuh berbanding Pas dengan menguasai sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Berbanding Pas, jelasnya, hanya mempunyai lapan kerusi DUN.

“Tidak dinafikan PH juga mempunyai visi dan impian yang sama dengan Pas iaitu ingin menumbangkan kerajaan BN dan melakukan reformasi pentadbiran di Pahang sebagaimana yang telah dilaksanankan di Selangor dan Pulau Pinang.

“Namun begitu, PH tidak mungkin boleh melupakan kejadian di mana Pas telah bersekongkol bersama Bersatu dan BN untuk menjatuhkan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton pada 2020,” kata Angkatan Muda Harapan Pahang lagi.

Sayap anak muda PH negeri itu juga menyifatkan Pas telah “tidur sebantal” bersama BN melalui konsensi Muafakat Nasional (MN) dan hanya berpisah sebelum kembali memusuhi BN semula setelah menjalinkan hubungan luar dengan Bersatu seterusnya menubuhkan PN.

Sehubungan itu, Angkatan Muda Harapan Pahang menegaskan saranan Ketua Pemuda Pas wajar dibalas dengan “thank you, but no thank you”.

“Tiada keperluan bagi penyokong PH untuk memberikan sokongan kepada Pas mahupun PN yang menjadi punca kejatuhan kerajaan PH di peringkat Persekutuan dan menjadi satu kerajaan paling gagal dalam sejarah politik negara kita,” ujarnya.

Young Syefura yang juga Adun Ketari berkata, PH selaku kerajaan menanti perlu bekerja keras untuk meraih semula sokongan rakyat dengan PH negeri terutamanya mesti mempertahankan sembilan kerusi yang telah dimenangi pada PRU14 serta dalam masa sama merangka strategi untuk menawan Pahang.

“Parti anggota PH perlu memperbaharui kerjasama dan memelihara keutuhan yang sedia ada.

“Fokus utama adalah untuk memenangi pilihan raya yang akan datang agar nasib rakyat Pahang dan alam sekitarnya dapat dipelihara dan diuruskan dengan lebih baik dan telus,” tambahnya lagi.

Baca juga Dakwa undi PH jahil agama, ini deretan sindiran warganet terhadap Presiden Pas

Baca juga Renjatan elektrik semasa panahan petir, murid darjah enam kaku di bilik tidur