Boling: Malaysia ungguli dua gelaran di Kuwait

Boling: Malaysia ungguli dua gelaran di Kuwait

Pasukan Tenpin Boling Malaysia ke Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-25 di Kuwait berjaya mengungguli dua gelaran, selepas memenangi kategori keseluruhan dan juga kategori lelaki keseluruhan.

Malaysia memenangi kategori keseluruhan, selepas memenangi enam pingat emas, satu perak dan empat gangsa, diikuti Korea Selatan dengan tiga emas, empat perak dan empat gangsa, manakala China di tempat ketiga.

Malaysia juga mengungguli kategori lelaki keseluruhan selepas menang tiga emas dan satu perak dengan Timmy Tan menjadi pemain terbaik negara, selepas memenangi dua emas iaitu dalam acara perseorangan lelaki dan All Event lelaki.

Satu lagi emas datang daripada acara trio lelaki, yang diwakili Muhammad Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Ahmad Muaz Fishol.

Terdahulu, Esther Cheah memberikan pingat emas keenam untuk Malaysia, selepas melakukan 452 jatuhan pin dan menewaskan juara bertahan Jung Dawun dari Korea Selatan (445 jatuhan pin) dalam perlawanan akhir.

Jung sebelum itu mengalahkan rakan sepasukan, Baek Seungja 245-244 jatuhan pin di separuh akhir, manakala Esther melangkah terus ke final, selepas mencatatkan jatuhan pin tertinggi pada pusingan kelayakan.

Bagi kategori lelaki, Du Jianchao menang emas selepas mengalahkan Lin Pai-Feng dari Taiwan 491-455 jatuhan pin pada perlawanan akhir, manakala Shusaku Asato dari Jepun pingat gangsa selepas tewas kepada Du, 234-256 pada separuh akhir.– BERNAMA