Bomba Kelantan diminta segera periksa pusat tahfiz

Bomba Kelantan diminta segera periksa pusat tahfiz

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan diminta untuk mempercepatkan pemeriksaan keselamatan terhadap premis yang terlibat dengan pengajian agama di negeri itu terutama pusat tahfiz.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia bagi mengelakkan kejadian yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur 14 September lepas terjadi di negeri itu.

“Apa yang berlaku di Jalan Keramat Ujung itu satu peristiwa yang menyayat hati. Kita reda dengan apa yang berlaku tetapi dalam masa yang sama perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku lagi pada masa depan.

“Caranya adalah ikut syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan dan kita harap di Kelantan, pusat tahfiz akan mula diperiksa oleh JBPM Kelantan secepat mungkin supaya kejadian sama tidak berlaku,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Ziarah Kasih dan meninjau beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran dan Dun Pengkalan Kubor, malam tadi.

Selasa lepas, mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi (HLC) mengenai Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dipinda bagi membolehkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta termasuk sekolah tahfiz swasta tertakluk di bawah akta itu dengan persetujuan kerajaan-kerajaan negeri.

Cadangan itu adalah langkah proaktif yang dikemukakan dalam mencari jalan terhadap isu-isu berkaitan sekolah tahfiz termasuk isu keselamatan memandangkan pengurusan sekolah-sekolah itu kini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Turut dicadangkan, premis maahad tahfiz, sekolah agama, rumah anak yatim, rumah orang tua dan pusat asuhan kanak-kanak harus mematuhi piawaian keselamatan.

Ia susulan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa termasuk 21 pelajar.

CATEGORIES
TAGS