Malaysia Dateline

Bomba Sarawak laksanakan Sanitasi Covid-19 berperingkat

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak telah melaksanakan program Sanitasi Awam di seluruh Sarawak bagi mengekang penularan wabak Covid-19 bermula semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman berkata, program itu dilaksanakan di seluruh negara termasuk di negeri ini.

Katanya, pada semalam pihaknya telah memberi fokus di kawasan yang menjadi tumpuan awam seperti masjid, stesen bas, Medan Niaga Satok dan Pasar Stutong.

“Saya dimaklumkan di Zon 7 (Limbang, Lawas), Zon 6 (Miri, Marudi), Zon 5 (Bintulu), dan Zon 4 (Sibu ) turut akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

“Justeru, kami berharap bantuan daripada pihak yang mampu untuk memberi peralatan yang dapat membantu meluaskan lagi liputan nyahcemar ini memandangkan peralatan logistik yang kita ada adalah lebih kepada insiden biasa.

“Bagaimanapun, berdasarkan ancaman Covid-19 ini, kita terpaksa membuat secara menyeluruh dan tujuannya adalah untuk memberi keyakinan kepada seluruh masyarakat,” jelas Khirudin.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk mengamalkan kebersihan diri dan penjarakan sosial terutamanya kepada golongan yang berisiko seperti orang tua dan kanak-kanak.