Bomoh ‘air suci’, enggan divaksin jadi korban Covid-19

Oleh ARIF ATAN

Seorang bomoh di Colombo, Sri Lanka yang enggan disuntik vaksin Covid-19 akhirnya maut akibat virus itu, lapor AFP.

Eliyantha White, 48, sebelum ini mendakwa boleh menamatkan penularan Covid-19 di negara itu menggunakan ‘air suci’.

November lalu, White mendakwa mampu menamatkan pandemik di Sri Lanka dan India dengan menuang beberapa bekas ‘air suci’ ke dalam sungai.

Mendiang juga dikatakan merawat ahli sukan dan ahli politik terkenal termasuk Perdana Menteri Sri Lanka.

Menteri Kesihatan Sri Lanka, Pavithra Wanniarachchi yang menyokong rawatan menggunakan ‘air suci’ itu, bagaimanapun dijangkiti Covid-19 dua bulan kemudian dan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Pavithra kemudian disingkirkan daripada jawatannya tetapi masih kekal dalam Kabinet.

Doktor turut menyifatkan White sebagai penipu bahkan pengamal perubatan Ayurveda juga menolak dakwaan White kononnya kaedah yang digunakannya diwarisi sejak 3,000 tahun lalu dan adalah rawatan tradisional India.

Pada 2010, White menarik perhatian umum apabila pemain kriket legenda India, Sachin Tendulkar, mengucapkan terima kasih kepadanya secara terbuka kerana merawat kecederaan lututnya.

Dalam temu bual dengan AFP, White mendakwa mempunyai ‘kuasa istimewa’ sejak berusia 12 tahun.

Sejak itu, White sudah merawat beberapa pemain kriket utama India, termasuk Gautam Gambhir dan Ashish Nehra.

Mayatnya disemadikan di perkuburan utama Colombo hari ini, dengan mematuhi peraturan kuarantin.

Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa, yang pernah mendapatkan rawatan daripada White, menyifatkan legasi bomoh itu akan terus hidup dalam semua individu yang pernah mendiang diubati.