Malaysia Dateline

Bon Odori: Menilai konsep federalisme dan strukur pentadbiran agama Islam

Isu Bon Odori ini menjadi isu hangat dan mendapat perbincangan ramai. Isu ini timbul berikutan ‘nasihat’ yang diberikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad supaya orang ramai tidak menghadiri festival tahunan tersebut kerana dikhuatiri ianya membabitkan soal agama dan akidah.

Berikutan itu, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan bahawa festival itu tidak akan dibatalkan namun beliau akan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Belum sempat beliau mendapatkan penjelasan daripada JAIS, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah mengeluarkan kenyataan yang agak keras terhadap Menteri Agama itu. Selain daripada menasihati Menteri Agama untuk hadir ke festival tersebut, baginda juga menzahirkan bahawa baginda ‘tidak mahu Y.B. Menteri menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasi JAKIM.’ [sila rujuk kenyataan penuh dalam FB Selangor Royal Office].

Bon Odori

Barangkali inilah kenyataan yang paling keras dikeluarkan oleh seorang Sultan terhadap seorang Menteri Agama dalam sejarah Malaysia. Tidak terfikir oleh kita bagaimanakah seorang Sultan boleh menanggapi seorang Menteri Agama telah membuat kenyataan yang mengelirukan, tidak tepat (dalam kata lain memesongkan serta bercampur antara benar dan palsu) yang pastinya akan menjejaskan JAKIM sebagai sebuah institusi besar agama Islam di negara ini.

Melihat kebelakang, pada April 2022, Sultan Selangor pernah menzahirkan murka baginda terhadap Menteri Agama dan Timbalan Menteri Agama, Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary dan bertitah bahawa ‘Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah. Sebaliknya, hanya Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.’

Dua perkembangan ini mengukuhkan lagi konsep federalisme di Malaysia. Dalam konsep ini urusan berkaitan agama Islam hendaklah di dalam bidang kuasa negeri masing-masing. Manakala, perlembagaan setiap negeri pula menyatakan bahawa Sultan adalah ketua bagi agama Islam dalam negeri tersebut.

Kenyataan Menteri Agama itu boleh dikatakan telah menceroboh bidang kuasa negeri yang secara terus berada di bawah kuasa Sultan. Mungkin pada zaman Barisan Nasional dahulu Sultan di negeri-negeri tidak begitu tegas dengan bidang kuasa mereka. Namun, perubahan iklim politik selepas PRU 14 menunjukkan bahawa setiap Sultan mula memperkasakan kuasa mereka di bawah Perlembagaan.

Justeru, sesiapa yang menjadi Menteri Agama di peringkat Persekutuan perlu sedar hal ini dan mempersembahkan kepada setiap Sultan tentang apa-apa rancangan yang mereka lakukan.

Dr Zulqarnain Luqman
Dr Zulqarnain Lukman

Dalam hal ini, langkah Menteri Agama PH sebelum ini iaitu Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof patut dipuji kerana beliau sendiri telah turun menghadap setiap Sultan-Sultan apabila kerajaan Persekutuan pada ketika itu ingin menjadikan dasar Rahmatan Lil ‘Alamin (Rahmat Untuk Semua) [bukan Rambutan Pak Amin seperti yang pernah digelar oleh seorang agamawan terkemuka tanahair] sebagai dasar negara sehinggalah ianya mendapat persetujuan dan perkenan daripada Majlis Raja-Raja. Malangnya, sebelum dasar tersebut dapat dilancarkan secara rasmi, Langkah Sheraton telah membantutkan hasrat tersebut.

Mungkin tindakan terburu-buru Menteri Agama kali ini akan menjadikan beliau lebih berhati-hati di masa hadapan dan tidak semenggah untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan yang bukan dalam bidang kuasa beliau.

Namun begitu, pastinya orang ramai kini ternanti-nanti dengan gerak kerja Menteri Agama sekarang khasnya mengenai apa yang pernah diceramahkan oleh beliau dan rakan-rakannya seperti isu pemandu mabuk, RUU 355, aurat di kalangan pramugari dan isu judi. Mampukah beliau terus istiqamah dengan apa yang pernah diucapkannya sebelum ini? Sama-samalah kita mendoakan supaya beliau dapat mengotakan apa yang pernah diucapkannya sebelum ini.

Baca juga: Sultan Selangor titah Idris Ahmad hadir program Bon Odori supaya fahami beza agama, budaya