Bonus raya penjawat awam Kedah masih dalam perbincangan, kata Mukhriz

Bonus raya penjawat awam Kedah masih dalam perbincangan, kata Mukhriz

Bonus sempena Aidilfitri dikalangan penjawat awam negeri Kedah masih lagi dalam proses perbincangan barisan exco kerajaan negeri.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas merasmikan program sumbangan ‘Jom Adik Shopping’ di Alor Setar semalam.

Jelas beliau lagi, pemberian bonus tersebut masih dipertimbangkan oleh barisan exco bagi mengikut jejak keputusan Kerajaan Pusat dengan bayaran RM400 bagi penjawat awam gred 41 ke bawah.

“Jumlah pembayaran bonus tersebut tidak begitu besar sepertimana yang pernah diberikan oleh kerajaan sebelum ini.

“Namun begitu dalam keadaan kerajaan negeri menghadapi kekurangan kewangan, adalah perlu perbelanjaan dilakukan secara lebih berhemah.

“Kita akan pastikan penjawat awam yang bergred rendah menerima bantuan tersebut walaupun jumlahnya tidak seberapa, ” ujarnya.

Malah tegasnya lagi, sehingga kini keputusan adalah dengan mengikut arahan yang dibuat oleh Kerajaan Pusat dengan pembayaran sebanyak RM400 bagi gred 41 dan ke bawah.

Program sumbangan ‘Jom Adik Shopping Raya’ bersama dengan Pengerusi Menteri Besar Kedah Inc yang dianjurkan bersama Mydin cawangan Kedah turut dihadiri oleh Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh yang juga merupakan exco negeri Kedah.