Bonus RM1,500 dilihat untuk raih sokongan golongan agama

Bonus RM1,500 dilihat untuk raih sokongan golongan agama

Pemberian bonus yang jarang-jarang diberikan dalam bentuk ‘one off’ sebanyak RM1,500 kepada golongan agama seperti Imam dan Bilal yang diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2018 baru-baru ini, dilihat sebagai mengumpan golongan agama untuk mendapatkan sokongan pada pilihan raya umum yang semakin hampir.

Dalam keadaan yang terdesak kini, kerajaan Umno dan BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib akan cuba menawarkan pelbagai bentuk insentif dan janji-janji politik semata-mata untuk memastikan dokongan yang pernah diperolehi sebelum ini tidak hilang seperti yang telah berlaku di Selangor dan Pulau Pinang.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil ketika ditemui selepas program Forum Diskusi Pengembangan Islam yang diadakan di Permatang Pasir, Permatang Pauh baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil

 

Jelas beliau lagi, sepatutnya Najib memberi penekanan terhadap usaha bagi menyelesaikan masalah rakyat seperti peningkatan kos sara hidup dan harga barangan yang semakin meningkat.

“Amat melucukan apabila pembayaran terpaksa dibuat sebanyak dua kali oleh kerajaan kepada Imam dan Bilal.

“Sepatutnya kerajaan mencari kaedah yang lebih baik bagaimana hendak membantu golongan agama seperti Imam dan Bilal yang memperolehi pendapatan bawah paras minima.

“Apa lagi dengan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup yang tinggi tidak dapat menampung pemberian ‘one-off’ yang diberikan sekali dalam tempoh yang belum diketahui jangka hayatnya, ” ujarnya lagi.

Menurut Faiz lagi, dengan hasil cukai GST sebanyak RM42 bilion kerajaan telah boleh melakukan banyak bentuk program kebajikan sekiranya serius ingin membantu rakyat.

“Kerajaan sepatutnya mencari resolusi untuk tidak membebankan rakyat dengan memansuhkan semua tol yang dikenakan seluruh negara.

“Namun begitu kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani bahawa tol yang dikenakan di konsesi lain akan dilanjutkan bagi menampung pemansuhan lima tol seperti diumumkan dalam bajet umpama ungkapan orang utara ‘pi mai pi mai, tang tu jugak’ tiada bezanya.

“Sudahlah pelbagai subsidi yang sepatutnya diberikan kepada rakyat ditarik balik, kini mereka menjadikan golongan bawahan sebagai umpan untuk ditarik perlahan-lahan sebelum kailnya terkait,” katanya.

Tambahnya lagi, rakyat juga amat mengharapkan kerajaan dapat menstabilkan harga minyak, sebaliknya tidak ada dasar fiskal untuk turunkan harga minyak dalam bajet yang dibentangkan baru-baru ini.

“Seandainya mereka dapat menurunkan harga minyak sudah pasti ia dapat meringankan beban rakyat.

“Dulu kerajaan dapat menjimatkan RM3.3 bilion subsidi minyak, oleh kerana itu apa salahnya dengan pendapatan daripada cukai GST yang diperolehi sebanyak RM42 bilion tersebut, maka cukai GST dikaji semula supaya tidak terus menekan rakyat.

“Dengan begitu ketara ia memperlihatkan bagaimana kerajaan gagal mengambil berat untuk memperjuangkan nasib rakyat, sebaliknya hanya mementingkan temolok dan poket kerajaan semata-mata walaupun rakyat terhimpit dan tertekan dengan polisi yang dilaksanakan,” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, tidak dapat dinafikan kerajaan Umno dan BN sedia ada akan terus bergantung pada stigma perkauman dan menggunakan agama untuk mendapat undi menjelang pilihan raya umum ke-14 tidak lama lagi.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0
CATEGORIES