Malaysia Dateline

Bonus RM600 untuk penjawat awam

Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan Khas Kewangan sebanyak RM600 kepada semua kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah, yang akan dibayar pada awal 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, bagi pesara kerajaan dan veteren tidak berpencen, Bantuan Khas Kewangan RM300 akan diberikan.

Pada masa sama, kerajaan akan menaikkan kadar elaun RM6 kepada RM8 sejam untuk lebih 1,900 Pegawai Bomba Bantuan mulai 2021.

“Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perlindungan Kemalangan Diri percuma sehingga RM100 ribu kepada peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam bagi tahun 2021 dan 2022,” katanya semasa sesi Pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini .

Sementara itu, bagi menghargai keringat kepahlawanan dan bakti pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian one-off sebanyak RM500 kepada 40,000 penerima.