BookXcess lancar kedai buku dengan rak terpanjang dan tertinggi

BookXcess lancar kedai buku dengan rak terpanjang dan tertinggi

BookXcess secara rasminya melancarkan kedai buku kelapannya di Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang, dengan menjadikan rak buku terpanjang dan tertinggi di Malaysia, dan mungkin di Asia Tenggara, sebagai tarikan utamanya.

Dinamakan sebagai “House of a Million Stories” kerana menempatkan lebih 10 juga buku, rak buku sepanjang 70 meter dan 10 meter tinggi itu, memenuhi hampir keseluruhan tingkat tujuh dan sebahagian tingkat lapan pusat membeli belah di sini yang meliputi kawasan sekitar 2,508 meter persegi.

Pereka konsepnya Ketua Pegawai Inovasi Chua Yu Jeen berkata, beliau mahu memanfaatkan sepenuhnya ruang yang ada, disamping mengekalkan suasana terbuka.

Katanya, idea disebalik reka bentuk itu adalah memberikan pembaca pengalaman yang menarik untuk berada di dalam rekabentuk yang unik dan berlainan daripada kedai buku biasa.

“Malah kedai buku 24/7 di Cyberjaya telah direka bertemakan ‘dikelilingi tempat letak kereta’,” kata Chua yang bertanggungjawab ke atas seluruh reka bentuk kedai buku BookXcess.

Kedai buku ini merupakan kedai buku BookXcess yang pertama di utara, selepas membuka tujuh cawangan mereka di Lembah Klang.

Pengasas BookXcess, Andrew Yap berkata semua buku di gerai mereka ditawarkan pada harga 50 hingga 80 peratus di bawah harga runcit yang disyorkan sebagai pendekatan meningkat minat terhadap membaca.

“Harga buku yang mahal adalah salah satu punca yang menyebabkan jumlah pembaca di Malaysia menurun,” katanya, sambil menambah, menjadikan harga buku-buku yang berpatutan dan menyediakan persekitaran yang menarik, akan dapat menjadikan membaca sebagai hobi yang popular semula.

Katanya, BookXcess juga sedang mencari rakan kongsi perniagaan dalam usaha mereka membuka lebih banyak cawangan di seluruh Malaysia pada masa akan datang.

Walaupun kedai-kedai buku dikategorikan sebagai industri yang semakin malap, Yap tetap bersungguh-sungguh meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan berbanding keuntungan.

“Ia adalah satu risiko yang perlu kita ambil, tetapi saya sentiasa percaya pada karma yang baik (itu) akan membawa kepada sesuatu yang baik juga,” katanya.

— BERNAMA