Malaysia Dateline

Borang rentas negeri kosong tandatangan palsu

Siasatan awal Polis Daerah Shah Alam mendapati terdapat pemalsuan tandatangan milik Penolong Ketua Balai Polis Seksyen 6, Sarjan Mejar Mohd Fadzli Ali pada borang rentas negeri kosong yang tular hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Embol memberitahu pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Hari ini tular borang rentas negeri Balai Polis Seksyen 6 dengan tanda tangan dan bercop Penolong Ketua Balai berkenaan dengan tulisan ‘Thank you tolong kali kedua, xyah bratur panjang2. Ad cable dahh mudoh basoe sney kiro’.

“Justeru, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan Seksyen 243 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Terdahulu, borang rentas negeri kosong dengan tandatangan Ketua Balai Polis Chukai, Kemaman Terengganu juga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanyan Ramlan memaklumkan siasatan awal mendapati tandatangan milik Inspektor Mohamad Ramizan Ramli pada borang itu dipalsukan.

Beliau turut menafikan adanya prosedur operasi standard (SOP) baharu kononnya borang rentas negeri diluluskan dengan tandatangan pegawai polis terlebih dulu sebelum pemohon mengisi borang berkenaan.