Boss Mario rupanya ‘healing’ dalam rumah terbiar, terkejut tahu punca hilangkan diri

Oleh WAN SITI AMINAH

Misteri kehilangan personaliti media sosial, Boss Mario akhirnya terungkai selepas lelaki itu berjaya ditemui di sebuah hospital di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka.

Rupanya sebelum ke hospital, pemuda berusia 30 tahun yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu itu mendiami sebuah rumah kosong terbiar di Klebang selama tiga hari.

Boss Mario atau nama sebenarnya, Yew Boon Xiang bertindak menyembunyikan diri dipercayai untuk mencari ketenangan kerana merasa dibebani dengan tekanan kerja.

Selepas tiga hari berlalu, Boss Mario akhirnya menempah perkhidmatan e-hailing ke sebuah hospital swasta bagi mendapatkan rawatan untuk tekanan yang dialaminya.

Penempahan perkhidmatan tersebut kemudian dikesan oleh abang Boss Mario yang mengambil keputusan menghubungi hospital itu untuk mendapatkan pengesahan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah iaitu Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tiada unsur jenayah atau kecederaan pada fizikal Boss Mario, lapor Berita Harian.

“Punca penemuan itu ialah apabila abangnya, Boon Teck yang nekad menghubungi hospital di Melaka untuk mendapatkan maklumat sama ada Mario (Boon Xiang) mendapatkan rawatan atau sebaliknya.

“Apabila mengetahui adiknya itu sedang mendapatkan rawatan di wad kecemasan hospital swasta terbabit, Boon Teck kemudian memaklumkan perkara berkenaan kepada Balai Polis Batang Tiga.

“Hasil soal siasat polis mendapati Mario menyembunyikan diri di rumah kosong itu kerana ‘stress’ memikirkan pembayaran bonus kepada 22 pekerja di dua kedai telefon bimbitnya, iaitu di Melaka Sentral dan Klebang,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, khabar kehilangan personaliti yang mempunyai lebih 400,000 pengikut di pelbagai platform media sosial itu menjadi topik perbincangan hangat sejak Jumaat lalu.

Kehilangan disedari abangnya selepas hasil semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pemuda itu keluar rumah menaiki kereta jenis Honda City seawal jam 3 pagi di hari sama.

Abang Boss Mario kemudian membuat laporan polis selepas mendapat tahu bahawa kereta adiknya telah diparkir di kawasan Pantai Klebang dalam keadaan berkunci pada jam 6 petang.

Baca juga: Takziah buat Khalid Samad, isteri kedua kembali ke rahmatullah