Bot karam di Johor, tujuh maut, 34 terselamat

Bot karam di Johor, tujuh maut, 34 terselamat

Tujuh warga Indonesia maut, manakala 34 yang lain terselamat selepas bot dinaiki mereka karam kira-kira 80 meter dari pesisir Pantai Batu Layar malam tadi.

Jurucakap bomba berkata, terdapat seramai 60 penumpang menaiki bot tersebut.

Tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar turut terlibat dalam operasi itu selepas menerima panggilan pada jam 11.07 malam.

Antara anggota keselamatan lain yang membantu, 12 anggota polis, 29 askar, tiga petugas hospital dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).

Manakala Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini, tujuh mayat telah ditemui terdiri daripada dua lelaki dan lima wanita berumur antara 20 hingga 40 tahun.

Menurutnya, kesemua mayat telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi.

“Pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 9.45 malam yang memberitahu mereka terdengar suara meminta tolong dari arah pantai tersebut,” katanya dipetik BERNAMA.

Rahmat berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa karam yang lain bertumpu kira-kira tiga batu nautika dari kawasan pantai.

“Siasatan awal mendapati bot pancung itu dinaiki kira-kira 60 penumpang. Mereka dipercayai dalam perjalanan keluar dari negara ini menuju Batam,” katanya.

Berhubung kejadian itu, Pasukan 21 Artileri Diraja Pos Sepang berkata, mereka telah menahan 34 pendatang asing tanpa izin yang terdiri dari 26 lelaki dan lapan wanita.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Rohaizi Bahari berkata, kesemua pendatang asing tanpa izin (Pati) berkenaan dilapor membayar antara RM500 hingga RM1,200 kepada tekong bot tersebut bagi membolehkan mereka menaiki pengangkutan air itu.

“Mereka dikumpul di sebuah kawasan hutan sebelum cuba diseludup keluar menggunakan jalan yang tidak diwartakan.

“Maklumat daripada mangsa yang selamat memberitahu bot pancung itu dipukul ombak antara satu hingga dua meter menyebabkannya terumbang-ambing sebelum terbalik. Mereka diselamatkan oleh orang kampung dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada pihak tentera,” kata Rohaizi.

Berdasarkan semakan awal, hanya tiga daripada 34 mangsa yang selamat mempunyai pasport manakala yang lain tidak mempunyai dokumen pegenalan diri.

Beliau berkata, mangsa yang selamat akan dirujuk kepada pihak Konsulat Indonesia di sini untuk tindakan lanjut.

TAGS