Malaysia Dateline

Bot nelayan ditembak, dirampas: BN-DAP gesa tindakan segera Wisma Putra

 Ahli Parlimen Sungai Besar Datuk Budiman Mohd Zohdi  yang mewakili nelayan di Sekinchan berkata, tindakan menahan, menembak dan menunda bot nelayan Malaysia oleh penguatkuasa Indonesia pada 18 Julai lalu adalah tidak sah dan mencabuli Perjanjian Persefahaman yang pernah dimeterai.

Dua insiden  ini dijangka akan dibawa ke Wisma Putra untuk tindakan lanjut kerajaan Malaysia.

Dalam kejadian yang berlaku pada 18 Julai lalu sekitar jam 12 tengahari, sebuah bot nelayan dari Sekinchan telah melihat sebuah kapal yang dipercayai penguatkuasa perikanan Indonesia memasuki perairan Malaysia.

Kapal yang dipercayai penguatkuasa perikanan Indonesia di rujuk dengan nombor perkapalan sebagai ” HIU Macan 3212 pada koordinat N 3’20.419,E100’40.423.

Budiman berkata, bot nelayan Sekinchan telah dikejar oleh kapal penguatkuasa Indonesia mengesa bot nelayan berhenti tetapi nelayan meneruskan tangkapan mereka kerana menyakini masih lagi berada di perairan Malaysia.

“Sebaliknya pihak berkuasa Indonesia telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah nelayan Malaysia yang menaiki bot SLFA 5099 dan mengenai bot berkenaan.

“Kami berasa dukacita dengan tindakan penguatkuasa Indonesia kerana tindakan mereka boleh mengancam nyawa nelayan sedangkan mereka masih mencari ikan di perairan Malaysia,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan hari ini.

Turut hadir Ketua Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunus dan Adun Sekinchan Ng Sue Lim dan kumpulan nelayan di Sekinchan.

Dalam kejadian berlaku itu juga dimaklumkan pihak berkuasa Indonesia telah menahan dua bot nelayan Sekinchan SLFA 4641 dan SLFA 4948 diperairan sama setelah gagal menahan SLFA 5099.

“Kami juga berasa dukacita dengan penahanan dua bot tersebut kerana kami yakin bot tersebut berada di perairan Malaysia dan di luar dari kawasan ‘Exclusive Economic Zone’ (EEZ) dan di luar perairan antarabangsa,” ujarnya.

Budiman  memaklumkan kini dua bot tersebut telah ditunda dan ditahan di Langsa, Acheh.

Dalam sidang media diadakan itu juga Jamal sempat membidas Ng Sue Lim  kerana  dakwanya, kerajaan negeri Selangor gagal menangani insiden  bot-bot nelayan ini  dengan segera.

“Kita ada wakil rakyat daripada kerajaan negeri selangor, tetapi biarkan nelayan kita ini, macam nelayan yang tidak ada kerajaan. Jetinya tidak tahu ke mana…bantulah nelayan-nelayan YB, jangan cakap jer banyak.. Yb dari Sekinchan.

“Kita bersama daripada agensi persekutuan dan kerajaan negeri, kita sama-sama  duduk macam sekarang ini, beri bantuan kepada nelayan pasti nelayan-nelayan akan terbela, ini yang kita harapkan, ” kata Jamal dalam sidang media sama.