Bot pelancong karam di Sabah: tekong dipenjara 6 bulan

Bot pelancong karam di Sabah: tekong dipenjara 6 bulan

Tekong bot pelancong yang karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum pada 28 Januari lalu, dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas dia mengaku bersalah membawa muatan melebihi had yang dibenarkan oleh lesen bot berkenaan.

Sharezza Salian, 26, yang tidak diwakili peguam dan enggan melantik peguam untuk mewakilinya, mengaku melakukan kesalahan itu di jeti Pondok Hentian Rehat di Lorong Tun Mustapha, Kampung Tanjung Aru Lama, pada 28 Januari lalu, kira-kira jam 9.15 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan dibaca menurut Seksyen 34 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ainul Shahrin Mohamad, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sharezza memberitahu mahkamah bahawa semasa kejadian, bot yang dikendalikannya membawa 28 penumpang melebihi had 12 penumpang yang dibenarkan.

Dalam rayuannya, Sharezza memberitahu mahkmamah dia merupakan anak ketiga daripada lapan beradik dan daripada keluarga yang susah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Aida Fatimah Abd Jabar yang memohon agar hukuman maksimum dikenakan ke atas tertuduh, berkata kesalahan Sharezza melibatkan kepentingan awam dan hukuman perlu mengambil kira faktor berkenaan melebihi kepentingan tertuduh.

Katanya hukuman maksimum itu juga perlu sebagai pengajaran kepada pengendali bot pelancong yang lain agar sentiasa mematuhi peraturan dan tidak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang semata-mata kerana tamakkan keuntungan.

Sementara itu, Ainul Shahrin menetapkan 6 Februari ini untuk sebutan semula kes pemilik syarikat bot karam jenis katamaran yang tuduh bersama dengan Sharezza mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan selepas tertuduh gagal memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan Leong Vin Jee, 43, yang diwakili peguam Edward Paul, dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 yang didepositkan sepenuhnya dengan seorang penjamin tempatan manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Dalam tragedi 10 pagi Sabtu lepas, bot pelancong yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Setakat ini 22 mangsa dijumpai selamat dan tiga mati.

TAGS