Bot terbalik dalam banjir di Segamat, lelaki dikhuatiri lemas

Bot terbalik dalam banjir di Segamat, lelaki dikhuatiri lemas

Seorang lelaki hilang dan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya terbalik di Kampung Tengah, Segamat, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Raub Selamat berkata dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Fais Syafiq Hassan, 21, berada dalam bot berkenaan bersama bapa saudara dan sepupu serta dua rakannya.

Beliau berkata kesemua mereka dipercayai sedang dalam perjalanan ke rumah dari Jalan Pemuda ke Kampung Tengah untuk menyelamatkan harta benda susulan banjir.

Bagaimanapun, katanya bot terbabit kemudian bergesel dengan dua lagi bot lain menyebabkan bot berkenaan dimasuki air dan terbalik.

“Dua daripada penumpang bot yang memakai jaket keselamatan terapung dalam air manakala dua lagi berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada bot,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya empat penumpang terbabit kemudian diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang berada di tempat kejadian.

Raub berkata Mohd Fais Syafiq dipercayai berusaha berenang menuju ke arah bot yang terbalik, namun gagal setelah dibawa arus deras.

Beliau berkata pihak polis yang menerima laporan sejurus selepas kejadian memulakan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Bagaimanapun keadaan gelap menyebabkan pihak polis terpaksa menghentikan operasi pada 7 malam dan akan menyambung usaha mencari pada 9 pagi ini,” katanya.

 

TAGS