Botanica.CT Centre bakal jadi nadi Balik Pulau

Botanica.CT Centre bakal jadi nadi Balik Pulau

Botanica.CT Centre bakal menjadi pusat komersial yang pesat membangun di Balik Pulau sebaik sahaja projek itu siap.

Pengerusi Eksekutif MTT Properties & Development Sdn Bhd Datuk Seri Kenny Ong berkata pembangunan komersial itu akan menjadi nadi baharu Balik Pulau.

“Apabila kami mula melaksanakan projek ini, mewujudkan peluang kerja baharu bagi penduduk setempat sentiasa menjadi teras visi kami. Dengan sebahagian daripada pembangunan komersial kami sudah menjadi kenyataan, visi ini secara perlahan-lahan tetapi pasti akan menjadi realiti,” katanya pada majlis pecah tanah Botanica.CT Centre di sini, hari ini.

Botanica.CT Centre, kawasan komersial seluas 2.63-hektar adalah sebahagian daripada kawasan pembangunan baharu taman Botanica CT di sini, juga akan dilengkapi sebuah pasar raya seluas 7,432.24 meter persegi dan dua restoran pandu lalu.

Ong berkata syarikat akan membina 22 unit kedai dua tingkat dan pejabat yang dijangka dibuka untuk jualan menjelang pertengahan tahun ini.

“Komponen ini akan membawa perniagaan runcit dan komersial tambahan untuk melengkapi perdagangan penyewa utama kami yang sudah disahkan dan akan menambah baik perkhidmatan diberikan kepada penduduk Botanica dan komuniti Balik Pulau secara umumnya,” katanya, sambil menambah projek Botanica CT Centre dijangka siap menjelang 2021.

“Kami kekal komited untuk menerajui pembangunan ini yang kami sifatkan sebagai kawasan terakhir akan dibangunkan di bahagian pulau Pulau Pinang.

“Sebagai pemaju, kami juga sentiasa sedar akan tanggungjawab kami untuk memulihara alam semulajadi dan memastikan semua projek kami akan sama ada mempunyai persekitaran alam semulajadi sebanyak mungkin atau kami akan mengambil langkah tambahan untuk memastikan tiada sebarang kesan teruk terhadap alam sekitar,” katanya.

Loading...

MTT Properties ialah anak syarikat MTT Group of Companies yang terbabit dalam pemunggahan kargo, baj, perkapalan, logistik, pengangkutan udara antarabangsa, broker kastam dan pengangkutan darat.

— BERNAMA