Boustead Holdings kembali catat keuntungan pada suku kedua

Boustead Holdings kembali catat keuntungan pada suku kedua

Boustead Holdings Bhd mencatat keuntungan bersih RM24.3 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2019 berbanding kerugian bersih RM27.6 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas, didorong oleh keuntungan daripada penjualan tanah perladangan bernilai RM120 juta.

Perolehan lebih tinggi sebanyak RM2.54 bilion daripada RM2.43 bilion sebelum ini.

Bagi tempoh enam bulan pertama, Boustead mencatatkan keuntungan bersih RM1.9 juta berbanding kerugian bersih RM21.5 juta, manakala perolehan berjumlah RM5.05 bilion daripada RM4.73 bilion sebelum ini.

Pengarah Urusan Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata bahagian itu menyumbang secara positif kepada keuntungan syarikat kecuali bahagian industri berat dan hartanah.

Bahagian perdagangan dan perindustrian merupakan penyumbang utama untuk tempoh enam bulan, terutamanya disokong oleh sumbangan daripada Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd yang mencatat peningkatan pegangan stok selain margin dan volum jualan yang lebih baik.

Ini mengurangkan sumbangan yang mengalami penyusutan daripada UAC Bhd.

Sementara itu, bahagian perladangan mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM70 juta berbanding defisit bagi tempoh sama tahun lepas.

Bagaimanapun, bahagian hartanah mencatat defisit RM22 juta manakala bahagian industri berat merekodkan defisit RM63 juta berikutan keputusan kurang memberangsangkan daripada unit operasinya.

Pada masa depan, syarikat itu akan terus menambah baik kecekapan operasinya dan langkah mengoptimumkan kos.– BERNAMA