Malaysia Dateline

Boustead Plantations catat kerugian RM16.2 juta pada Q1

Boustead Plantations Bhd catat kerugian bersih RM16.20 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2019 (Q1 2019), diheret turun oleh harga produk sawit yang rendah dan perbelanjaan faedah yang tinggi.

Syarikat itu mencatat keuntungan bersih sebanyak RM5.26 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Boustead Plantations berkata hasil juga merosot kepada RM134.91 juta berbanding RM154.60 juta sebelumnya disebabkan oleh harga produk sawit yang rendah dalam tempoh suku pertama.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, syarikat itu berkata harga purata jualan minyak sawit mentah (MSM) pada Q1 2019 sebanyak RM2,017 setan, turun 19 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas, dan harga purata isirung sawit merosot 41 peratus tahun ke tahun kepada RM1,300 setan.

“Pengeluaran tandan buah segar pada Q1 2019 meningkat kepada 258,996 tan, 14 peratus lebih tinggi berbanding suku yang sama tahun lepas, manakala kadar purata perahan minyak meningkat kepada 21.4 peratus, dan kadar purata perahan isirung stabil pada 4.5 peratus” katanya.

Walaupun berhadapan tempoh yang mencabar, jurucakap syarikat itu menerusi kenyataan akhbar menyebut lembaga pengarah masih mengumumkan dividen satu tahap pada satu sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019.

“Dividen akan dibayar pada 28 Jun, 2019 kepada pemegang saham yang berdaftar pada 11 Jun, 2019,” katanya.

Jurucakap itu berkata kumpulan itu kekal positif ke atas prospek jangka panjang, memandangkan permintaan ke atas minyak sawit diunjur meningkat semula berikutan ketidakcukupan bekalan minyak makan yang lain, import dari China yang meningkat serta mandat campuran biodiesel di Indonesia.

“Walaupun pemulihan harga akan terus dihadkan oleh inventori minyak sawit yang tinggi, harga MSM dijangkakan disokong oleh musim perayaan dalam tempoh terdekat selain peningkatan eksport ke Iindia susulan penurunan duti emport,” katanya.- BERNAMA