Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanya sebagai bayaran ‘saguhati’ kepada kumpulan pendapatan rendah tetapi bukan untuk menolong golongan kurang berpendapatan itu keluar daripada kemiskinan, kata Pakar Ekonomi, Profesor Meritus Dr. Barjoyai Bardai.
“Kira-kira 50 peratus isi rumah di Malaysia berpendapatan kurang daripada RM2,000 dan memerlukan sedikit bantuan untuk menambah pendapatan isi rumah mereka,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Ditanya mengenai BR1M seperti ‘tongkat’ sebagaimana dikatakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir kepada rakyat beliau merasakan itu adalah perkara betul.
“Ini kerana, Barisan Nasional (BN) menggunakan BRIM sebagai satu alat untuk memancing rakyat untuk mengundi BN dan untuk mengekalkan mereka sebagai pemerintah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” katanya
Menurutnya, BR1M tidak membantu dalam jangka masa panjang untuk rakyat yang memerlukan untuk keluar daripada kelompok kemiskinan.
“BR1M sepatutnya dimansuhkan, dan boleh digantikan dengan beberapa skim lain yang boleh membantu rakyat dari segi kewangan mereka dalam. jangka masa panjang dengan lebih baik,” ujarnya.
Mengenai skim Bantuan Sara Hidup (BSH) yang akan diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) beliau berkata, bukanlah alasan untuk rakyat hanya bergantung kepada skim tersebut semata-mata.
“BSH merupakan langkah kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah baik dari segi kewangan mahupun keselesaan kehidupan.
“BSH ini membolehkan golongan pendapatan rendah untuk memulakan perniagaan, sebagai modal untuk bekerja sambilan dan pelbagai lagi,” ujarnya.
Jelasnya lagi, rakyat perlu berfikir cara untuk menggunakan bantuan daripada kerajaan ini dengan sebaiknya agar kehidupan mereka di masa hadapan lebih terjamin.
“Semua bantuan kerajaan dan juga skim yang dilakukan kerajaan adalah subsidi, bukannya hanya subsidi petrol sahaja,” ujarnya.
Beliau turut memberikan pandangan agar Kerajaan Pakatan Harapan memperkenalkan ‘Food Spamp’ atau pun ‘E-Wallet’ untuk memberi diskaun mengikut kepada pendapatan isi rumah seperti dilaksanakan oleh beberapa negara maju.
Jelas beliau lagi, Kerajaan Pakatan Harapan boleh meperkenalkan ‘Food Spamp’ atau pun ‘E-Wallet’ untuk memberi diskaun mengikut kepada pendapatan isi rumah seperti yang digunakan oleh negara maju yang lain.
Memetik laporan The Malaysian Insigh pada Sabtu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Kerajaan akan mengurangkan jumlah BR1M sedikit demi sedikit sebelum ia dimansuhkan.
Langkah tersebut bertujuan untuk memastikan rakyat lebih berdikari dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.
“Kita akan kurangkan sedikit demi sedikit apa yang kita berikan kepada mereka (BR1M) dan jelaskan kepada mereka apa objektif kita.
“Saya sentiasa cakap mengenai tongkat. Buanglah tongkat anda, berjalan di atas kaki sendiri. Barulah anda menjadi kuat dan anda akan jadi lebih baik.
“Jika anda hanya suap rakyat, mereka akan jadi lemah,” kataDr Mahathir.