Brazil sah tarik diri daripada perjanjian mengenai migrasi PBB

Brazil sah tarik diri daripada perjanjian mengenai migrasi PBB

Presiden Brazil Jair Bolsonaro pada Rabu mengesahkan keputusannya untuk menarik diri daripada perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Migrasi.

Menerusi twitternya Presiden berkata migran yang datang ke Brazil perlu menghormati peraturan dan budaya negara itu, lapor agensi berita Xinhua.

“Rakyat Brazil dan migran yang tinggal di sini akan merasa lebih selamat dengan peraturan ditentukan sendiri dan bukannya oleh pihak luar,” katanya sambil menambah pihaknya akan terus membantu migran yang mahu menyeberangi sempadan.

Di bawah perjanjian dianggap menyeluruh itu, menetapkan matlamat pengurusan migrasi yang lebih baik, melibatkan kerjasama antarabangsa bagi memerangi penghijrahan tidak teratur selain memberikan layanan adil, termasuk kira-kira tiga juta rakyat Brazil yang tinggal di luar negara, kata bekas menteri luar Brazil Aloysio Nunes Ferreira.

Ia ditandatangani Disember lalu oleh 163 buah negara termasuk Brazil.

Satu kaji selidik oleh syarikat pengundian Datafolha baru-bari ini menunjukkan 42 peratus rakyat Brazil “bersetuju” dengan syor kawalan lebih ketat terhadap migran yang datang ke Brazil.

Ferreira pernah menyuarakan kebimbangan dengan langkah itu kerana ia mungkin akan menimbulkan masalah kepada rakyat Brazil yang tinggal di luar negara.

— BERNAMA