Malaysia Dateline

Brexit: Theresa May letak jawatan jika perjanjian diluluskan

Theresa May mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri jika perjanjian Brexit diluluskan, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata demikian di hadapan jawatankuasa 1922, parti Konservatif di Parlimen pada Rabu.

“Saya tahu terdapat hasrat untuk pendekatan baharu – dan kepemimpinan baharu – dalam fasa kedua rundingan Brexit – dan saya tidak akan menghalangnya,” katanya.

“Tetapi kita perlu memastikan perjanjian diteruskan dan Brexit diselesaikan,” katanya.

“Saya bersedia melepaskan jawatan lebih awal daripada apa yang saya mahukan, demi negara dan parti,” kata May.

Beliau menggesa semua ahli jawatankuasa menyokong perjanjian itu untuk “menyelesaikan tugas bersejarah”, menurut kenyataan pejabat perdana menteri.

Parlimen akan mengundi menukar tarikh Brexit dari 29 Mac, tarikh yang ditetapkan untuk undang-undang Brexit.

— BERNAMA