Malaysia Dateline

Broker terima ganjaran jutaan ringgit jual nama bekas setpol Khalid

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memberitahu seorang ‘broker’ telah menggunakan nama bekas setiausaha politiknya, Azli Yusuf.

Pengarah Komunikasi AMANAH itu malam tadi berkata, penahanan Azli ekoran aduan sebuah syarikat arkitek yang mendakwa menerima Arahan Pembangunan (DO) palsu daripada seorang “broker”.

“Bekas SU Politik saya, Hj. Azli, direman polis semalam atas aduan sebuah syarikat arkitek yang diberi DO palsu oleh seorang ‘broker’.

“Broker tersebut menerima ganjaran dengan menjual nama Hj. Azli yang kononnya telah mendapatkan DO berkenaan bagi pihaknya,” katanya di Twitter.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu tidak boleh menceritakan lebih lanjut tentang kes tersebut memandangkan masih dalam siasatan polis.

“Saya diberitahu broker berkenaan telah menerima jutaan ringgit melalui kaedah jual nama (Azli) ini.

“Kepercayaan ‘cash is king’ memungkinkan broker berjaya. Broker kaya, yang nama dijual teraniaya,” tambah Khalid lagi.

Terdahulu, setpol kepada bekas menteri di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 53 tahun dilapor ditahan polis pada 15 Mei lalu.

Dia didakwa terbabit dengan kes penipuan untuk mendapatkan kelulusan perancangan pembangunan membabitkan kerugian RM1 juta.

Seorang arkitek berurusan dengan lelaki dipercayai bergelar Datuk serta isterinya masing-masing berusia 66 dan 43 tahun bagi mendapatkan kelulusan perancangan bangunan pembangunan pada awal Jun tahun lalu, lapor Harian Metro.

Akhbar itu juga memberitahu pasangan suami isteri itu adalah orang tengah kepada setpol tersebut yang didakwa menyediakan dan menyerahkan dokumen disyaki palsu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin memaklumkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.