Malaysia Dateline

Buang ‘duri’ dalam PKR, enam ahli diheret ke lembaga disiplin parti

Seramai enam orang ahli PKR dilaporkan kepada Lembaga Disiplin PKR untuk dipecat setelah didapati cuba mempengaruhi ahli parti untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang, Fuziah Salleh berkata, laporan salah laku berkenaan melibatkan beberapa pemimpin di peringkat negeri dan cabang dalam gerakan menghasut ahli untuk mengkhianati parti.

Jelasnya, penama tanpa berselindung telah memburukkan kepimpinan parti di peringkat negeri mahupun pusat, termasuklah Presiden yang turut menjadi sasaran kecaman mereka.

“Mereka didapati merupakan dalang di sebalik usaha keluar parti beramai-ramai yang dirancang Ahad ini, 15 Mac di Hotel Seri Bera, Bera.

“Kesemua penama dengan giat telah mempromosikan PN kepada anggota akar umbi dengan maksud mengajak mereka menyertai gabungan itu dan seterusnya meninggalkan PKR.

“Teguran secara lisan telah dibuat, namun mereka masih berdegil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara yang dilaporkan ialah Ketua Cabang Paya Besar, Al Bakri Salim; Ketua Cabang Pekan, Jefri Jaafar Tukemin; Naib Ketua Cabang Bera, P. Saravanan; Ketua Cabang Rompin, Rabidin Kasmawi; Ketua Cabang Bentong, Dasimah Zainuddin; dan Anggota Cabang Rompin, Sitarunisah.

Malah menurut Fuziah, keenam-enam mereka semakin giat dan aktif meneruskan gerak kerja mencemarkan imej parti dan cuba menghasut seramai mungkin anggota parti untuk keluar meninggalkan parti itu.

Katanya, keputusan melapor kepada Lembaga Disiplin di ambil berdasarkan laporan dan bukti lengkap yang diperolehi dari anggota parti yang berupa rakaman audio dan tangkap layar artikel mahupun status di media sosial.

Fuziah turut menegaskan bahawa dari sudut moral dan etika, perbuatan ahli jelas salah dan bertentangan dengan peraturan disiplin yang ditetapkan parti.

“Diharapkan dengan tindakan Lembaga Disiplin memecat mereka ini, tiada lagi duri dalam daging yang boleh memecah-belahkan kesatuan dalam parti.

“Pimpinan PKR Pahang juga ingin menegaskan, dalam keadaan ketua-ketua cabang tidak lagi menerajui parti, maka MPN akan mengambil alih serta merta pentadbiran cabang tersebut.

“Tada kompromi dengan pengkhianat di dalam parti ketika ini dan di masa hadapan. Kami yakin bahawa usaha memecat akan lebih memperkukuhkan parti dan keluarnya mereka tidak akan dirasai oleh ahli parti yang lain,” kata Fuziah lagi.