Malaysia Dateline

Buang kleptokrasi dengan ‘Utamakan Malaysia’

Keputusan Mahkamah Rayuan menguatkan harapan yang kita masih mampu membuang kleptokrasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat yang bertaraf dunia sebelum tahun 2057, dengan konsep “Utamakan Malaysia”, bukannya konsep “Keluarga Malaysia” Ismail Sabri.

Terdapat hembusan nafas lega di seluruh negara apabila mendapat tahu yang Mahkamah Rayuan telah sebulat suara menolak rayuan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, ke atas sabitan kesalahan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas tujuh tuduhan berkenaan dana RM42 SRC International Sdn Bhd.

Dalam menyampaikan keputusan tersebut, Hakim Abdul Karim Abdul Jalil mengatakan yang Mahkamah Rayuan bersetuju dengan dapatan hakim perbicaraan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendapati Najib mempunyai kepentingan peribadi untuk Kabinet meluluskan jaminan kerajaan untuk pinjaman bernilai RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan kepada SRC International.

Beliau memutuskan yang tindakan Najib terhadap pinjaman RM4 bilion kepada SRC tersebut bukanlah untuk kepentingan negara, sebaliknya untuk kepentingan peribadi.

“Tidak ada kepentingan negara apabila RM42 juta dipindahkan ke akaun Najib. Hanya memalukan negara,” kata Karim semasa membacakan keputusan sebulat suara tersebut.

Tetapi, kita perlu sentiasa sedar, ada sesetengah rakyat Malaysia yang terus menerus mahu melihat sabitan Najib ini dibatalkan, supaya suatu kempen besar-besaran untuk Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dapat dilancarkan.

Pelbagai persediaan telah dibuat untuk kempen penipuan, fitnah, dan berita palsu ini di media sosial, termasuklah pembelian personaliti media sosial dan media cetak untuk melancarkan kempen momokan terhadap “lawan” Najib.

Kini, kempen untuk menjadikan Najib Perdana Menteri ke-10 ini telah disekat, tetapi masih akan ada usaha untuk menghidupkannya.

Kebetulan pula, semalam adalah hari ke-100 Kabinet Ismail Sabri, walaupun hari ke-100 Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri telah berlalu awal lagi pada 29 November 2021.

Sekiranya saya diminta untuk memberikan markah untuk 100 Hari Pertama Kabinet Ismail Sabri ini, saya akan berikan markah gagal, walaupun kerajaan ini tidaklah gagal seteruk “kerajaan gagal” Muhyiddin sebelum ini.

Keputusan Mahkamah Rayuan pagi ini adalah sinar cahaya yang cerah dalam langit yang kelam, memulihkan kepercayaan rakyat bukan sahaja terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, tetapi juga mengembalikan harapan bahawa kita masih mampu untuk membuang kleptokrasi dan melawan rasuah dengan jayanya di Malaysia.

Tetapi, perkara ini perlulah dicapai dengan gerakan rakyat untuk “Utamakan Malaysia” dan bukannya konsep “Keluarga Malaysia” Ismail Sabri.

Keputusan Mahkamah Rayuan ini memberikan harapan bahawa gerakan “Utamakan Malaysia” untuk negara kita menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia yang tidak terus menerus ditinggalkan di belakang negara-negara lain, sama ada dari segi daya saing antarabangsa, tadbir urus yang baik, atau kerajaan yang berkesan dan efektif sebelum ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057 — untuk kita semua keluar dari trajektori kegagalan — ini bukanlah satu impian atau visi yang mustahil untuk dicapai.