Buang masa bincang dengan parti lain, kata veteran Pas

Buang masa bincang dengan parti lain, kata veteran Pas

Tokoh wartawan dan veteran Pas, Subky Abdul Latif menyifatkan berbincang dengan parti-parti lain sebagai membuang masa kerana mereka tidak bersedia menerima syarat yang dikemukakan Pas.

Beliau yang dipetik dari Harakahdaily berkata, Pas sepatutnya bertanding di semua kerusi di Terengganu pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

“Dulu pun, dua tiga PRU (pilihan raya umum) yang lepas sepatutnya, Pas bertanding semua tapi kerana wujudnya Pakatan jadi kita bahagi-bahagikan kerusi.

“Parti-parti yang ada itu memaksa Pas untuk bersendirian, maka pilihan kita tiada. Sepatutnya apabila mereka telah berpecah dengan Umno, mereka mengikut Pas kerana Pas telah ada dasar ‘Pas Ganti Umno’,” jelasnya.

Menurut Subky yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, partinya itu diyakini akan menjadi pembangkang yang kuat walapun pada masa sama mengakui Pas tiada banyak pilihan pada masa ini.

“Pas akan menjadi pembangkang tunggal yang kuat kerana Pas dengan bersendirian dia dapat mengemukakan pendapatnya.

“Mungkin pada masa ini Pas tidak mendapat kejayaan yang besar, tetapi pada jangka panjangnya Pas akan menjadi kuat,” jelas Subky lagi pada temubual dengan Harap TV di Kuala Terengganu, kelmarin.

Untuk rekod, Pas di Terengganu hanya memerintah satu penggal selepas Pilihan Raya Umum pada 1999 dan sebelum itu pada 1959.

Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda baru-baru ini menyifatkan Pas dan presiden parti berkenaan, Datuk Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang tidaklah benar-benar berpengaruh di negeri itu.

Menurutnya, tanggapan Pas kononnya kuat pada PRU 1959 tidak benar ekoran wujudnya perpecahan undi antara parti Perikatan iaitu nama lama Barisan Nasional dengan Parti Negara ketika itu.

“Dalam pilihan raya 1959, Pas hanya dapat 36 peratus sahaja undi popular. Perikatan dapat 35 peratus, pecah dua sebab 17 peratus undi Parti Negara pimpinan Datuk Onn Jaafar (bekas Presiden Umno pertama). Maknanya, bukan sebab Pas paling kuat,” jelasnya.

Beliau yang juga bekas Pengarah Pendidikan Politik Pemuda Pas Pusat berkata, kemenangan besar Pas pada PRU 1999 pula berkaitan dengan faktor pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia setahun sebelum itu.

“(PRU) 1999, sebab kes mata lebam Anwar Ibrahim. Itu fakta sebab tahun 1995, Pas hanya menang 43 peratus sahaja undi popular dalam keadaan seluruh orang Terengganu tidak mahu lagi Wan Mokhtar Wan Ahmad (bekas Menteri Besar, 1974 hingga 1999) tapi dia boleh menang lagi.

“Undi popular (Pas) daripada 43 bertambah 13 peratus jadi 56 peratus. Itu yang dapat 28 kerusi. Bukan sebab Pas kuat,” tegas Hasbie lagi.

TAGS