‘Buang masa, duit dan tenaga’, pelancong geram banyak jalan tutup di Melaka, ‘last-last’ terperap dalam hotel sahaja

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pelancong meluahkan rasa kesal apabila perancangan melancong di Melaka tergendala disebabkan banyak jalan-jalan di negeri itu ditutup minggu lalu.

Ia berikutan kerajaan negeri Melaka ketika itu sedang melaksanakan penutupan jalan selama 54 jam sempena Zon Bebas Kenderaan.

Tidak dapat dinafikan, pada awal pelaksanaan ia dibuat, rata-rata warga tempatan berasakan hal itu akan menjejaskan aktiviti harian.

Malah, penduduk dan peniaga telah melahirkan kegusaran kerana terpaksa menanggung kerugian disebabkan pelancong yang menaiki kenderaan tidak dapat melalui jalan tersebut.

Perkara itu menjadi lebih serius apabila ramai pelancong turut meluahkan rasa kecewa menerusi media sosial dengan penutupan jalan yang dibuat pada musim percutian.

Salah seorang netizen @ctnuraliya yang dikatakan datang daripada jauh untuk melancong ke Melaka berasa kecewa apabila masa percutian tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Saya baru balik dari Melaka. Datang dari Perak pergi Melaka nak melancong, sekali semua jalan ditutup dan tiada parkir. Banyakkan nak pergi melancong tetapi tidak dibenarkan masuk kawasan pelancongan, rugi satu hari kerana tidak tahu jalan di situ. Akhirnya masuk bilik hotel, tidur. Buang masa, buang tenaga dan buang duit,” tulisnya.

Tidak mahu insiden itu berulang, individu terbabit mencadangkan pihak bertanggungjawab membuat hebahan melalui media sosial sekiranya terdapat kawasan pelancongan di negeri itu yang ditutup. 

“Bayangkan simpan duit nak melancong tapi tempat pelancongan di tutup.

“Lain kali bila tiba musim cuti sekolah, sila umum kan kawasan pelancongan Melaka ditutup,” ujarnya.

Selain itu, seorang lagi warganet @Zulfikri Julfekar turut memberi perancangan yang perlu dibuat oleh kerajaan negeri sebagai langkah untuk memudahkan banyak pihak terutama pada masa percutian.

“Kerajaan negeri perlu sediakan parking secukupnya. Kemudian perlu sediakan plan panduan yang lengkap untuk semua pelancong maklumkan di mana mereka perlu meletakkan kereta dan perkhidmatan awam apa yang perlu mereka ambil untuk sampai ke kawasan tumpuan pelancong contohnya Bandar Hilir.

“Contohnya bangunkan sistem bas pengantara (feeder bus). Memperkasakan perkhidmatan awam di Melaka yang mesra pelancong. Jangka masa panjang mungkin boleh bangunkan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dalam Melaka,” tulisnya.

Baca juga: Takut kantoi curang, wanita tergamak ‘simpan’ bayi dalam termos nasi