Buang mentaliti ‘hamba’, Melayu boleh maju

Oleh MALAYSIADATELINE

 

Tun Dr. Mahathir terus menegur kaum Melayu ketika majlis Sambutan Ulang Tahun ke-2 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabtu lepas.

Perdana Menteri merungkai satu persatu kelemahan tipikal orang Melayu yang menghalang diri mereka untuk jadi bangsa yang berjaya.

Menegur Melayu sendiri sudah menjadi cap dagang negarawan tersebut sejak dari dahulu lagi.

Sungguhpun ada yang tidak berpuas hati, namun sedikit sebanyak teguran darinya merupakan suatu realiti untuk Melayu itu bermuhasabah diri.

Namun tidak semua Melayu mempunyai sifat-sifat negatif tersebut. Di luar sana, masih wujud Melayu-Melayu yang rajin, bijak, berani dan mempunyai sifat amanah.

Apa yang pasti, kepimpinan Melayu itu sendiri banyak mencorak adat budaya serta mentaliti kaum tersebut. Sejak dari zaman monarki mutlak, hingga ke era demokrasi berparlimen, para pemimpin Melayulah yang bertanggungjawab mengemudi kaum pribumi majoriti di negara ini.

Silapnya pemimpin Melayu selama ini ialah kebanyakan mereka mengajar Melayu agar berjiwa hamba. Mereka suka ada pengikut yang taat setia membabi buta. Kebanyakan Melayu diasuh agar menghormati seseorang itu berdasarkan umur, gelaran serta kekayaan material semata-mata.

Dalam dunia Melayu tipikal, seseorang yang kaya serta bergelar “Datuk” tiba-tiba boleh dianggap mulia berbanding seorang pemandu ambulans yang masih muda. Itu sebagai contoh. Walaupun tidak semua Melayu bermentaliti sebegitu, namun ia jelas dizahirkan melalui drama-drama Melayu di kaca televisyen, di mana kehidupan elitis dan utopia menjadi daya tarikan untuk ditonton sungguhpun tiada jalan cerita yang menarik atau lakonan yang berkesan.

Begitu juga dengan keghairahan Melayu dalam mengejar pingat gelaran hingga ada yang sanggup membayar untuk mendapatkannya kerana mereka tahu masih ada Melayu di luar sana yang masih terpedaya dengan nama gelaran.

Selagi Melayu masih mempunyai mentaliti feudalistik kuno seperti itu, selagi itulah Melayu sukar untuk jadi bangsa maju.

Orang Jepun juga asalnya satu bangsa yang kuat sikap feudalnya. Namun demi kemajuan, Maharaja Meiji iaitu pemimpin tertinggi bangsa mereka di abad ke-19 mengepalai perubahan budaya serta minda masyarakat Jepun itu sendiri hingga elemen-elemen tamadun Barat terutamanya sains dan teknologi berjaya mengubah bangsa itu menjadi salah satu bangsa termaju di dunia pada hari ini tanpa mengorbankan semua sifat-sifat keJepunan diri mereka.

Kita mengenali bangsa Jepun pada hari ini bukan semata-mata kerana produk atau etika kerja mereka seperti robot, tetapi juga kerana mereka masih bangga dengan asal-usul sejarah serta seni budaya mereka seperti berbahasa Jepun, makanan tradisional mereka seperti sushi dipopularkan ke seluruh dunia, malah seni bela diri Jepun seperti Karate-Do, Aikido dan Judo turut dieksport ke luar Jepun.

Berbalik kepada Melayu di Malaysia pada hari ini, apa elemen-elemen keMelayuan yang berjaya kita komersilkan atau eksport ke peringkat antarabangsa untuk dihayati bersama warga dunia?

Sampai bila kita mahu jadi bangsa yang berjiwa hamba, masih terikat dengan mentaliti jumud yang hakikatnya tiada kena mengena dengan akhlak Islam itu sendiri? Malah Melayu cukup mudah bersikap apologetik apabila merantau dalam dunia majmuk tanpa sempadan hari ini.

Mereka cepat menjadi Arab atau “Mat Saleh” jika pergi ke peringkat lebih tinggi sedikit. Cukup malu untuk berbahasa Melayu fasih, apatah lagi menjamah juadah masakan Melayu, atau untuk berbusana Melayu di tempat awam. Mendengar lagu-lagu Melayu sendiri pun ada yang alergik.

Anehnya Melayu jenis itu cepat pula cop Melayu lain yang kuat jati diri mereka seperti Melayu Kelantan yang sering berloghat Kelantan, membawa budu ke mana sahaja dan boleh pada bila-bila masa mempersembahkan Dikir Barat ketika di perantauan itu sebagai kekampungan pula.

*Penulis adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merangkap Ketua Biro Integriti Armada Nasional.