Buang ‘sampah’ keluar dari kementerian satu cabaran besar, kata Salahuddin

Buang ‘sampah’ keluar dari kementerian satu cabaran besar, kata Salahuddin

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mengakui cabaran yang paling besar perlu dihadapi beliau bagaimana untuk membuang segala ‘sampah’ keluar dari kementeriannya.

Katanya yang berazam akan terus berpegang kepada pendirian untuk membanteras rasuah dan penyelewengan secara habis-habisan.

“Jika tidak buang ‘sampah’ di bawah karpet, ia lama-kelamaan akan jadi busuk,” kata Salahuddin ketika ditemu bual oleh Nanyang Siang Pau.

Bagaimanapun beliau mengakui untuk mengubah sikap cara kerja kakitangan awam dan mengurangkan birokrasi bukanlah kerja mudah.

Sebagai seorang menteri beliau berazam menjadi seorang menteri pertanian yang bukan sahaja membantu kaum Melayu, tetapi juga kepada kaum-kaum lain.

Beliau mengakui pelantikannya sebagai menteri pertanian dan industri asas tani sebagai tanggungjawab yang berat dan bukan mudah untuk digalas.

Bagi mengatasi masalah pekebun, jelas Salahuddin, beliau akan mengambil sikap terbuka untuk menerima sebagai kritikan dan pandangan daripada pelbagai pihak.

Beliau yang juga timbalan presiden Amanah turut memberitahu sentiasa berpegang prinsip bahawa antara urusan rasmi kerajaan dengan parti mesti diasingkan.

“Tujuan mengasingkan urusan rasmi kerajaan dengan parti adalah demi memulihkan maruah kakitangan awam agar mereka tidak lagi dipaksa menyertai sebarang kegiatan anjuran parti.

“Pendirian saya adalah jelas iaitu antara urusan kerajaan dengan parti perlulah diasingkan dengan jelas. Apabila saya tugas sebagai menteri, saya mahu pegawai saya bantu dan sokong saya. Tetapi apabila saya hadiri aktiviti parti, mereka tidak perlu lagi ikut saya,” katanya.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0