Buang sifat benci, wujudkan kasih sayang

Buang sifat benci, wujudkan kasih sayang

Sifat benci sesama kita yang membezakan antara warna kulit atau perkauman yang sempit perlu dibuang bagi menumpukan kepada pembangunan negara yang mampan.

Begitulah kenyataan dari Speaker Dewan Negeri Johor, Suhaizan Kaiat ketika memberikan Amanat Hari Kebangsaan ke 62 hari ini.

Beliau turut menasihatkan agar rakyat di negeri Johor khususnya untuk menjauhkan diri dari sebarang berita yang akan mengundang parah serta kekacauan.

“Kerajaan sedang menumpukan kepada aspek pembangunan yang mana sekiranya pembangunan ini berjaya dilaksanakan ia akan memberi manfaat kepada rakyat khususnya ekonomi.

“Bagaimana ekonomi akan berkembang sekiranya kekacauan berlaku dalam negara dengan kenyataan yang pelbagai sehingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat umum.

“Rakyat perlu juga sama-sama membantu kerajaan dalam usaha menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Teguran boleh dilakukan tetapi bukanlah dengan meletakkan agenda politik golongan tertentu sehingga mengorbankan rakyat dan perpaduan yang sedia terjalin,” ujarnya ketika dihubungi.

Dalam amanat tersebut, beliau tidak menafikan wujudnya golongan yang berkepentingan mengambil kesempatan di atas kemajuan teknologi dengan menyebarkan pelbagai maklumat yang tidak sah.

Dalam pada itu, di kesempatan menjelang Awal Muharram, beliau turut mengajak agar semua pihak untuk mengambil iktibar berazam bersama-sama membangunkan negara ini.

“Hijrahkanlah diri kita untuk ke arah yang lebih baik yakni dengan membuang segala sifat benci sesama manusia serta hormat menghormati sesama kita.

“Selain itu juga, seluruh masyarakat pelbagai kaum harus mengambil peranan untuk memulihkan segala masalah yang ingin memutuskan hubungan baik selama ini berlangsung.

“Saya juga menyeru semua pihak agar bertolak ansur dan salin berkasih sayang. Iklankanlah segala perkara yang baik berkenaan jalinan perpaduan di negara ini,” ujarnya lagi.