Buang undi awal sambung berniaga

Buang undi awal sambung berniaga
Zairi pengundi di Telok Kerang meneruskan perniagaan sejurus selesai mengundi.

Sebelum pukul 9 pagi lagi, peniaga gerai buah-buahan, Zairi Salleh, 42, telah membuang undi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Telok Kerang.

Bapa kepada tiga anak yang merupakan anak kelahiran Kampung Telok Kerang itu berkata, beliau tetap menunaikan tanggungjawab mengundi walaupun sedang mencari rezeki.

Lisa melayan antara pelanggan di gerai buah-buahan tempatan diusahakan keluarganya di Tanjung Piai.

“Saya awal-awal lagi sudah mengundi. Senang. Boleh terus sambung berniaga,” ujarnya sambil menunjukkan jari telunjuk kirinya yang sudah bercelup dakwat.

Zairi berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline pagi ini.

Beliau dilihat sibuk melayan pelanggan yang terdiri daripada penyokong parti sambil dibantu oleh isterinya, Lisa Khamis, 32.

Zairi antara 52,986 pemilih berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang merupakan PRK kali kesembilan diadakan selepas PRU-14.

Ditanya tentang apa yang diingininya daripada wakil rakyat baharu nanti, Zairi berharap kerajaan sedia ada membantu rakyat terutama golongan peniaga kecil Bumiputera.