Malaysia Dateline

Buang undi selepas 5 petang boleh dicabar di mahkamah, kata SPR

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata mana-mana pengundi yang membuang undi selepas masa yang ditamatkan jam 5 petang ini boleh dicabar di mahkaman.

Tindakan SPR tidak melanjutkan tempoh masa bagi pengundi berikutan kesesakan di beberapa pusat mengundi hari ini, kerana ia mematuhi peraturan yang diwartakan SPR.

“Kami akan menutup pusat pengundian kepada sesiapa yang tidak berada dalam bilik mengundi,” katanya semasa diwawancara RTM1 petang ini.

Kata Mohd Hashim langkah menutup tempat mengundi seperti jadual asal dibuat kerana ia sudah diwartakan.

Katanya mana-mana pengundi yang membuang undi selepas jam 5 petang boleh dicabar di mahkamah.

“Sebab itu SPR menasihatkan orang ramai supaya keluar mengundi seawal mungkin,” katanya.

Beliau dalam satu kenyataan media tengahari turut berkata, rungutan dikalangan pengundi yang terpaksa beratur panjang di pusat mengundi disebabkan berlaku jumlah pengundi yang keluar serentak.

Keadaan ini ujarnya dipercayai berlaku ekoran pengundi terpengaruh dengan mesej tular sebelum ini yang mengesa pengundi keluar awal supaya tidak ada orang lain mengundi menggunakan nama mereka.