Malaysia Dateline

‘Buat apa beri teguran, teruslah ambil tindakan’, Menteri Agama dikritik isu klip video raya melampau

Rata-rata warganet mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang dianggap hanya memberi teguran berhubung klip video lagu Hari Raya nyanyian Datuk Seri Aliff Syukri yang melampau.

Orang ramai menempelak pemimpin Pas yang juga senator tersebut dan menggesa supaya tindakan lebih keras dikenakan ekoran aksi sekumpulan penari latar beraksi perempuan dalam lagu ‘Kelepok Raya’ itu.

“Jangan beri teguran saja, teruslah ambil tindakan,” kata Anuar Azid manakala Wong Joo Woosecara sinis berkata, “Menteri Teguran dari Jabatan Tegur Menegur Malaysia.”

Untuk rekod, lagu ‘Kelepok Raya’ sekarang menduduki tangga teratas sohor kini di YouTube dengan lebih 800,000 tontonan selepas dikongsikan Rusa Music sejak lima hari lalu.

Klip lagu berdurasi 5 minit 23 saat itu mengundang kecaman orang ramai apabila kumpulan penari lelaki bersongkok memakai singlet, mengenakan skirt dengan kesemuanya sarat berantai leher.

Dalam satu babak lain pula, Aliff dilihat berbaring di tengah kumpulan lapan lelaki yang ‘bergelimpangan’ dan saling menindih antara satu sama lain dengan ada antara mereka selamba meraba tubuh dan kaki rakan di sebelah.

Susulan itu, Idris dalam entri di Facebooknya dipetik berkata, klip video raya terbabit tidak wajar dikeluarkan ketika bulan Ramadan.

Menurutnya, klip video yang dipaparkan jauh daripada adab ketimuran dan ajaran Islam, pastinya kurang sesuai untuk dikaitkan dengan kemenangan umat Islam pada bulan Syawal setelah kita menempuh ujian dan tarbiyah di dalam bulan ramadan.

“Nasihat saya, dengan penuh kasih sayang dan cintanya saya kepada insan-insan hebat yang mampu membangunkan ummah, agar klip video seumpama ini boleh dikeluarkan daripada disiarkan di platform media. Atau ianya boleh di ‘private’kan hanya untuk tatapan peribadi empunya video,” katanya.

Ekoran reaksi Idris itu, orang ramai menyifatkan menteri terbabit seharusnya mengambil tindakan lebih tegas kerana menganggap teguran tidak akan berhasil.

“Ada perkara lain yang lebih teruk dan penting, kenapa dan mengapa berdiam diri? Selesaikanlah. Kata lima hari selesai segala-galanya,” sinis Ramli Mallazim.

Ramai juga berpendapat kerajaan perlu mengambil tindakan lebih keras kerana dibimbangi lebih banyak klip video yang tidak berakhlak akan dikeluarkan jika tidak ditangani mulai sekarang.

“Ambil tindakan pada yang mencemarkan kesucian agama supaya tak terus menular,” ujar Wan Abdullah manakala Nik Azli menulis, “Tegurlah sampai kiamat.”

Sementara itu, Mohd Najib berkata, “Teguran saja. Lembut sangat. Tak tegas langsung. Macam mana orang nak ikut.”