Jika dilihat banyak artis terlalu bergantung akan industri seni untuk kelangsungan hidup sedangkan ramai sudah perlahan-lahan buat perniagaan sendiri.
Bila ada kerja diluar industri maka adalah rezeki dan duit untuk dibelanjakan kepada keluarga.
Buat pelakon dan penyanyi Danny X-Factor akui tidak akan berhenti selepas menjadi pemandu Grab sejak 2017 lapor Kosmo.
“Seronok dan berbaloi. Kalau kerja produksi, sekali dapat bayaran, terus habis tapi kena duduk di set. Kalau buat Grab, hari-hari dapat duit. Boleh la bayar segala bil.
“Tak adalah nak minta duit isteri. Bagi saya, kewangan antara punca masalah rumah tangga. Isteri pun kata kalau saya keluar (kerja) dan dapat RM50 pun cukuplah. Mana-mana isteri nak tengok suami bekerja saja.
“Saya buat selagi boleh. Kalau ada tawaran kerja produksi, kebanyakannya saya ambil di sekitar Kuala Lumpur” katanya seperti dipetik Kosmo.
Pada masa sama pelakon berusia 44 tahun itu menasihati rakan artis lain untuk tidak segan bekerja sebagai pemandu Grab daripada buang masa tunggu tawaran bekerja.
“Ramai kawan-kawan saya yang sudah mula menjadi pemandu Grab. Ada kru produksi, anggota polis dan sebagainya.
“Kasihan tengok kawan-kawan artis yang tak ada tawaran kerja. Saya cakap kalau ada kereta, jalan saja (buat Grab). Tapi itulah mereka mungkin segan,” jelasnya.
Dalam pada itu Danny berkongsi hanya memandu Grab apabila isterinya bercuti sahaja atas faktor menjaga anak.
“Isteri saya bekerja sebagai pramugari. Bila dia kerja, saya jaga anak. Bila dia cuti barulah saya bawa Grab.
“Saya akan keluar rumah seawal jam 3 pagi. Kadang-kadang saya akan mulakan pada jam 12 tengah malam sehingga subuh. Selepas itu tidur sekejap dan sambung kerja bersama produksi.
“Kadang-kadang lepas hantar anak ke sekolah, saya bawa Grab sekejap sampai tengah hari. Dapatlah RM100. Meskipun jumlah itu nampak kecil, tapi dompet tetap ada isi,” katanya.
Buat Danny tiada istilah malu kerana ia adalah jalan mudah untuk mencari rezeki dan isterinya menerima keadaan tersebut.
” Alhamdulillah isteri saya terima saya seadanya. Saya hidup gembira bersama isteri dan anak dengan rezeki yang kami ada pada hari ini.
“Yang penting ada wang simpanan untuk masa hadapan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain Danny bakal muncul dalam drama Sebelum Titik Noktah yang akan ditayangkan bermula 11 November, setiap Isnin, pukul 11 malam menerusi Saluran 120 di Unifi TV.
“Buat apa nak malu? Ini adalah salah satu cara yang mudah untuk cari rezeki. Alhamdulillah isteri saya terima saya seadanya.
“Saya hidup gembira bersama isteri dan anak dengan rezeki yang kami ada pada hari ini. Yang penting ada wang simpanan untuk masa hadapan,” ujarnya.