Malaysia Dateline

‘Buat apa ramai berhimpun tapi Melayu saja’

Perhimpunan anjuran Pas yang dilihat ramai dihadiri penyokongnya bukanlah petunjuk yang boleh menjamin parti itu menang pada pilihan raya umum (PRU), kata Pengerusi AMANAH Selangor, Ir Izham Hashim.

Ir Izham Hashim Amanah
Izham Hashim

Menurutnya, Pas sejak dahulu sinonim dengan kehadiran ramai peserta dalam program yang dianjurkan tetapi pada masa ini situasi tersebut lebih banyak bergantung pada faktor lokasi.

Menjawab soalan pemberita tentang kemampuan himpunan anjuran Pakatan Harapan pada 14 Oktober ini menarik ramai peserta seperti Fastaqim 2.0, beliau berkata, himpunan Pas itu diadakan di negeri yang ‘selamat’ buat parti tersebut.

“Himpunan Pas yang ramai orang datang bukan satu yang baru. Buat pula (Fastaqim 2.0) di Terengganu. Cuba buat di Selangor.

“Tsunami Hijau Selangor, contohnya. Buat di tempat Iskandar Abdul Samad (Pandan Indah dalam Dun Cempaka), berapa orang saja yang datang,” bidasnya merujuk kepada himpunan di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 26 Ogos lalu.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Wacana Pendidikan Nasional 2017 di Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam hari ini.

Menurut Izham, komposisi mereka yang hadir dalam himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal di Kuala Nerus minggu lalu itu juga ramai terdiri daripada murid sekolah.

“Ya. Terengganu sejak zaman kita dulu (pemimpin AMANAH masih dalam Pas) memang tempat selamat untuk himpunkan ramai orang.

“Kerja menghimpunkan orang ramai ini Pas dari dulu buat tapi tidak menjamin kemenangan pada pilihan raya. Kedah dulu pun buat himpunan sampai penuh stadium tapi lepas beberapa bulan bila PRU-13, Pas tumbang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat himpunan yang mendapat sambutan orang ramai bukan syarat menjamin kemenangan pada pilihan raya.

“Itu hanya membantu tapi bukan pra-syarat. Sebaliknya, kita (Pakatan Harapan) anjurkan himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi melihat pada isu bukan sekadar kuantiti.

“Dan kita gemblengkan keempat-empat parti dengan penglibatan pelbagai kaum. Berbeza dengan Pas, penyokong mereka saja yang majoritinya Melayu ditambah dengan murid sekolah.

“Kita mahu semua rakyat pelbagai kaum bersama tunjukkan penolakan kepada BN. Kalau setakat berhimpun ramai orang Melayu, buat apa?,” bidasnya.

Izham menyifatkan mana-mana parti akan gagal dan tidak relevan dalam usaha menentang Umno-BN jika bergerak sendirian dengan hanya terdiri daripada satu-satu kaum sahaja.

“Terbukti sebelum ini kalau gagal satukan rakyat pelbagai kaum, parti itu gagal. Bahkan, ketika Umno sedang lemah di Terengganu pada 2004, 2008 dan 2013, Pas masih tidak boleh ambil peluang.

“Umno Terengganu berpecah-belah pun Pas tidak boleh menang. Bagaimana dalam keadaan sekarang, Pas boleh mendabik dada sudah bersedia yakin menang PRU-14 nanti?” soalnya lagi.

Himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi anjuran Pakatan Harapan dijadualkan berlangsung di Padang Timur Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada 14 Oktober ini.

Sehubungan itu, pelbagai siri ceramah dan flashmob sedang berlangsung di seluruh negara menjelang perhimpunan tanpa penglibatan Pas itu.

Pelbagai peringkat umur turut berkempen di depan Masjid Jamek selepas solat Jumaar semalam mengajak orang ramai ke himpunan 14 Oktober ini.