Buat baik untuk dibalas baik?

Buat baik untuk dibalas baik?

Izinkan saya untuk berkongsi bagaimana nilai-nilai murni diajar dalam mata pelajaran Pendidikan Moral ketika zaman sekolah rendah saya. Maklumlah, dengan usia sebegitu, mustahil budak hingusan seperti kami mampu menghadam teori yang mendalam, atau menelaah perdebatan falsafah mengapa manusia harus beramanah, bertanggungjawab, bertimbang rasa dan sebagainya.

Justeru, nilai-nilai murni diajar melalui kisah. Misalnya, kapak seorang penebang pokok terjatuh ke dalam tasik. Muncul seorang bidadari dari tasik dan bertanyakan si penebang pokok, “Mengapa kamu sedih?” Maka penebang pokok yang miskin itu pun mengisahkan bagaimana dirinya kehilangan kapak, yang digunakannya untuk mencari rezeki.

Bidadari itu pun menyelam ke dalam tasik, muncul semula dengan sebilah kapak yang diperbuat daripada emas. “Adakah ini kapak milikan kamu?” Penebang pokok itu menggelengkan kepala, dan menjawab, “Bukan, kapak saya diperbuat daripada besi.” Maka bidadari itu pun menyelam semula ke dasar tasik dan muncul semula dengan sebilah kapak perak, “Adakah ini kapak milikan kamu?”

“Bukan,” si penebang pokok bertegas, “Kapak saya diperbuat daripada besi.” Bidadari tersebut menyelam semula dan kali ini muncul kembali dengan sebilah kapak besi. Dengan gembira si penebang pokok mengucapkan terima kasih kepada bidadari tersebut, kerana telah menjumpai dan memulangkan kapak besi kehilangannya. Setelah diuji dan teruji kejujuran penebang pokok, maka bidadari itu pun menghadiahkan kedua-dua bilah kapak emas dan perak itu kepadanya.

Iktibarnya, orang yang jujur akan mendapat kebaikan di akhirnya. Teori ini diulangi dalam hampir semua kes, untuk menggalakkan manusia berbuat baik sesama diri. Berbuat baik agar dibalas baik, kerana perbuatan jahat akan dibalas dengan malapetaka.

Apabila dewasa nanti, dunia menjadi rumit dari kaca mata kita. Ia bukan sekadar hitam-putih, atau sebagaimana kisah filem Ultraman menghapuskan raksasa – Kejahatan yang dijelmakan sebagai raksasa semestinya hancur berkecai dimusnahkan kebenaran (atau kebaikan) yang diwakili Ultraman.

Kebenaran tetap akan menang akhirnya.

Malangnya realiti tidak berlaku sebegitu. Ramai daripada kita membayar harga yang tinggi kerana berbuat baik, sehingga kadang-kadang terpaksa mengorbankan diri. Hakikatnya bukan semua yang berbuat jahat ditimpa malapetaka. Mereka yang rasuah berbilion-bilion dilayan secara terhormat, berbanding mereka yang mencuri tepung susu untuk anaknya yang kelaparan.

Maka timbul keraguan, jikalau tiada jaminan bahawa berbuat baik itu dibalas dengan jasa budi, atau kita terpaksa membayar harga yang tinggi untuk perbuatan mulia itu – apakah kita masih sanggup melakukannya? Misalnya, apakah kita sanggup berdepan dengan risiko dipenjarakan, semata-mata untuk bercakap benar di depan penguasa yang zalim?

Baru ia menguji sejauh mana kita yakin dengan nilai-nilai murni ini. Kita sanggup melakukan kebaikan bukan kerana ia mendatangkan kebaikan, tetapi kerana ia adalah sesuatu yang mulia. Kita tidak melakukan kejahatan bukan kerana takut dengan malapetaka yang menimpa kita, tetapi kerana ia kejahatan yang tidak wajar kita lakukan, sungguhpun tidak diketahui, mahupun kita diberi ganjaran untuk melakukannya.

Makna ini hanya dihayati apabila saya menemui sebuah kisah moral apabila dewasa. Seekor burung telah berjanji dengan sahabat karibnya, sepohon pokok, bahawa ia akan kembali bernyanyi kepada pokok itu pada musim bunga. Namun apabila burung itu kembali, didapatinya pokok itu telah ditebang.

Lalu ditanya kepada akarnya, ke mana perginya batang pokok itu? “Ditebang dan dibawa ke kilang,” jawab akar sambil menuding ke arah kilang.

Burung itu pun terbang ke kilang, dan bertanyakan mesin yang sedang memotong kayu. “Batang pokok itu telah dijadikan mancis,” jawab mesin. Burung itu pun pergi mencari mancis itu, yang kebetulan sedang dinyalakan oleh seorang budak. Maka burung itu pun bernyanyi kepada cahaya api itu, sebelumbatang mancis menjadi rentung. Sesudah burung itu menunaikan janjinya, maka ia pun meninggalkan tempat itu.

Begitu sahaja kisahnya. Burung itu tidak mendapat apa-apa ganjaran lantaran kesungguhannya untuk menunaikan janjinya. Ia berbuat demikian semata-mata untuk berpegang kepada janjinya. Tiada rungutan, tiada alasan untuk mungkir janji – sungguhpun ia meletihkan. Bagi burung itu, janji adalah janji, yang harus ditunaikan setelah dijanjikan.

Saya lebih menghayati kisah moral sebegini setelah dewasa. Saya jemu dengan perbahasan sama ada manusia itu “mulia”, atau “jahat” secara semulajadi. Bagi saya, setiap manusia menyumbang untuk membentuk apakah ciri-ciri kemanusiaan. Andainya lebih manusia memilih untuk berbuat baik, maka cahaya kemanusiaan itu bersinar. Sebaliknya, jikalau lebih manusia memilih untuk berbuat jahat, maka cahaya kemanusiaan menjadi malap.

Seperti yang lain, saya adalah sebahagian daripada umat manusia. Saya berbuat baik bukan kerana mahu dibalas baik, tetapi saya yakin saya perlu memilih kemuliaan agar cahaya kemanusiaan tidak menjadi malap.